Bucaillesme : Kekalutan Tokoh Agama Mengimani Sains

Mengimani Sains Islam


Bagaimana kita mahu beriman kepada Sains Islam?

Dan paling utama, sebuah soalan yang patut kita ajukan awal mukaddimah adalah Apa Maknanya Sains Islam itu?

Apakah maknanya adalah sebuah ilmu yang mengikuti prinsip-prinsip Aqidah Islam? Atau sebuah Sains yang meletakkan Tuhan Allah dalam falsafatnya? Atau sebuah kajian yang terhasil oleh seorang muslim?

Rasanya untuk lebih ilmiyah dan lebih terpercaya, ambil saja ta’rifan Sains bagi  Syed Muhammad Naquib al-Attas:  “penyelidikan tersusunatur terhadap alam semesta”, walaupun saya lebih suka memilih ta’rifan Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains iaitu: “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai” dengan pembuangan unsur mantik tetapi digantikan dengan logik. Akhirnya ia akan menjadi begini: “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, logik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai”.

Walaupun kelompok “al Attas” lebih mengimani takrifan yang ringkas seperti diatas. Tetapi saya mengira bahawa aqal yang waras pasti tidak bertentangan dengan naqal yang sah! Yang selalu berbenturan itu adalah bila manusia menggunakan logika palsu atau falasi religus. Inilah yang menyebabkan kelihatan sains menikam agama padahal seandainya manusia menggunakan logika agama pasti mereka akan melihat bahawa sains senantiasa membenarkan agama Allah.

Oleh itu Sains Islam adalah “analisis fenomenon alam secara bersistem, logik dan objektif, bersandarkan kepada filsafat Islam, menggunakan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai”. Inilah ta’rifan yang bagi saya lebih saya percayai walaupun agak panjang.

Tetapi setelah itu nyata bahawa di sana wujud sains-sains agama lain seperti Sains Buddha, Sains Hindu, Sains Kristian dan Sains Yahudi. Ini terjadi apabila “Falsafat Islam” digantikan dengan “Falsafat agama tersebut. Lalu lahirlah beragam Sains yang dinasabkan kepada agama tertentu.

Kita percaya bahawa ketika sebuah tamaddun silam bangun, daripada badawi kepada hadhari, mereka mencipta ilmu-ilmu berdasarkan falsafat agama mereka: terbukti seperti pembinaan tamaddun Hindu, bahawa segala teknologi dan ilmu-ilmu dibangunkan untuk menuju kepada Brahman. Sehingga terbina kuil tanpa paku, balai cerap untuk melihat bintang. Ayurveda dan Yoga untuk penyembuhan menuju Rabbul alamin.

Apakah Benar Cendiakawan Muslim Dahulu Menggunakan Sains Islam?

Setelah kita beriman bahawa aqal yang waras pasti menerima naqal yang sah, dan kita juga mengerti bahawa Allah telah menurunkan segala ilmu-Nya dalam sebuah kitab – Al Quran, maka kita percaya juga bahawa Ibn Sina, Ibn Rush, Ibn Haitham, al Jazari dan banyak lagi telah menggunakan Sains Islam, dan kemudian lanjutan dari itu kita percaya bahawa Barat muncul sebagai sebuah tamaddun hasil dari ilmu yang diambil dari tamaddun Islam.

Maka kita terus percaya bahawa Sains yang ada hari ini adalah sains barat yang telah menjadi sekular dan kita mahukan Sains Islam muncul semula.

Persoalannya adalah; apakah benar Ibn Sina dalam penghasilan Ilmu Kedoktorannya telah menggunakan falsafat Islam, padahal kita dapati dalam aqidah beliau penuh dengan kerancuan, malah dia hampir-hampir dikafirkan ulama! Sesetengah orang mengatakan dia adalah lanjutan Aristotal.

Begitu juga ketika Al Jazari membina mesin-mesin beliau, apakah beliau menggunakan falsafat Islam?

Atau kita sampai kepada kesimpulan bahawa dia menggunapakai Sains Islam lantaran dia seorang muslim? Maka kalau begitu kita telah membuat sebuah keyakinan yang dibina atas prarasa semata.

Justeru, sebagai pembuktian, kita mahu melihat kertas-kerja mereka yang mereka telah nyatakan bahawa segala mesin, ilmu, alatan dan kajian yang mereka lakukan adalah berdasarkan falsafat Islam. Kita kamukan ia tertulis dalam kertas-kerja mereka, iaitu dalam kitab-kitab mereka.

Maurice Bucailli Dan Para Agamawan

Lalu datang satu zaman dimana seorang cendiakan Barat mengkaji Sains dalam Al Qur’an dan Injil. Lalu dia mendapati bahawa kebanyakan kejadian sains telah diterangkan dalam kedua kitab tersebut. Kepercayaan dia ini mengukuhkan hati-hati kaum Muslimin, ketika mereka digempur dengan segala kehebatan dari Barat.

Ketika Maurice Bucalli datang dengan kitab beliau, hasil pengkajian atas Islam dan Nasrani, maka kita terasa sebuah ruh baru meresap dalam jiwa kita; sebuah senjata untuk melawan Barat telah berada ditangan.

Kita merasakan bahawa zaman dimana Sains Islam akan bangkit semula telah muncul. Inilah zamannya. Dan ini juga adalah zaman dimana Sains Sekular akan runtuh seperti Tembok Berlin, ranap seperti WTC merudum ke bumi.

Maka kita pun berusaha untuk menjadikan segala yang Sains itu Islami, dengan proses Pengislamian  Ilmu atau bahasa kampung adalah Mengkhatankan Ilmu agar ia bisa menjadi Muslim. Semuanya kita lakukan hatta atas kereta Proton!

Sangat menakjubkan!

Dan para agamawan kita juga tidak berhenti disitu sepertimana para saintis kita; tetapi agamawan kita terus laju lagi sehingga mereka mahu membuktikan agama ini dengan sains. Segala teori sain akan mereka lihat apakah ada sumbernya dalam Al Quran. Jikalau ada, maka merekapun berkhutbah diatas mimbar-mimbar masajid bahawa teori ini telah Allah khabarkan dalam Al Qur’an, maka terbuktilah bahawa Islam agama yang benar!

Justeru kebenaran Islam itu telah bisa diukur dengan Sains!

Tetapi mereka lupa bahawa dalam Talmud dan Injil, perkara yang sama bisa dijumpai; bahawa sains juga telah dikhabarkan dilamanya!

Maka apakah Kristian dan Yahudi juga adama yang benar?

Akhirnya kita terpaksa meninggalkan kaedah pembuktian ini kerna kaedah ini tidak logik dan bisa melemahkan kita kembali.

Maurice tidak menjadikan sains dalam Al Quran dan Injil sebagai asas kebenaran Islam atau Nasrani, tetapi agamawan kita bertindak lebih dari yang sepatutnya.

Apa Beda Antara 1+2 = 3 Dalam Sains Barat dan Sains Islam?

Oleh kerna kita terlalu percaya bahawa wujud Sains Islam dan wujud Sains Barat, maka ketika kita menghasilkan matematik mudah seperti 1+2 = 3, apakah ada beda antara Sains Barat dan Sains Islam?

Soalan ini diajukan kepada Prof Madya Dr. Adi Setia Mohamad Dom, alumni Al Attas:

Soalan:

Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?

Jawaban:

Bagi mereka yang tak mendalami ilmu botani, kalau masuk hutan semua pokok sama sahaja, tak kira di barat atau timur, sama-sama hijau belaka. Tapi bagi mereka yang dalami macam kaum orang asli, setiap ekar tanah hutan mengandungi beratus spesies pokok yang berlainan, ada yang jadi ubat, racun, sumber makanan dan sebagainya. Jadi bagi mereka yang kenal ilmu matematik, tulisan nombor satu (1) mungkin seakan-akan sama, tapi faham kesatuan “satu” itu berbeza-beza di kalangan pelbagai budaya, malah dari sudut pandang bidang berlainan sekali pun. Contohnya, konsep “satu” dalam teologi sudah lain daripada konsep “satu” dalam teori angka (number theory), dan begitu-lah seterusnya. Jadi usah pukul borong semata-mata dari jauh tanpa teliti. Paul Feyerabend pun akui sains barat tak semesti baik 100%, malah mungkin ada juga sains lain yang jauh lebih baik daripada sains barat. Jadi semua sains tak sama, ada yang jadi ubat, ada yang jadi racun pembunuh macam sains barat moden ini.

Tetapi apabila kita dalami sains dalam semua sumber dan kita juga cuba untuk berlaku adil kepada setiap agama, serta apabila kita telah mendalami Islam dari nara sumber yang akurat, kita terpaksa untuk mengaku bahawa semua sains dibangunkan dengan falsafah agama, apakah ia agama Allah atau agama untuk tidak beragama. Dan sians adalah sebuah penemuan, tiada kaitan dengan Agama secara khusus. Melainkan Agama Sains yang dianut oleh Tom Crus.

Oleh itu juga kita harus menetapkan bahawa dalam teori graviti, atau paling mudah bahawa dalam teori pendaraban matematik asas: contoh 2 x 2 bersamaan 4, ia tidak ada kaitan dengan filsafat Islam, malah sangat jauh dengan prinsip sekular.

Pemahaman ini bisa digali bila kita mengerti fenomana ini:

[1] Memakai baju itu adalah adat, tetapi ia bisa berubah menjadi pahala bila kita niatkan untuk beribadat.

[2] Makan itu juga adat, tetapi bila kita membaca dia dan meniatkan untuk sihat agar kita bisa beribadat, ia berpahala.

[3] Membina rumah adalah keperluan hidup, tetapi kalau kita niatkan untuk beribadat kepada allah, maka ia mendatangkan pahala.

Demikianlah beberapa contoh  yang selalu digunakan oleh agamawan dalam menggambarkan Adat berubah menjadi Agama atau mendapat Pahala. Tetapi dari adat menjadi agama dengan syarat: menepati sunnah muhammad. Contohnya jika kita membaca “Allahumma ba riklana….” maka tiada pahala yang bisa Allah berikan kerna Allah mengajar lain kepada Muhammad saw, iaitu sekadar membaca Basmalah sahaja. Maka akhirnya kita mendapat dosa pula.

Lalu kita mengerti bahawa sains adalah seperti ilmu-ilmu lain, ia adalah sebuah upaya manusia untuk memahami alam. Maka 1 + 2 = 3 tidak dapat kita fikirkan bagaimana Islam bisa mengkhatankannya.

Sepertinya kita memahami bahawa ilmu-ilmu yang ada harus kita tasfiyahkan agar bersesuain dengan Islam, terutama adalah Sains Tajribi [sains yang selalu kita fahami].

Kerna dalam penemuan sains, yang membezakan selalunya adalah niat, dan niat ini urusan Tuhan. Tidak kita bisa katakan ini rumah Islam dan ini Rumah Sekular atau Rumah Buddha selagimana ia tidak memiliki ciri-ciri buddha atau Sekular atau Islam. Yang boleh kita katakan ia adalah senibina Melayu, atau senibina Arab atau senibina Cina.

Maka begitu juga sains, selagimana ia tidak menafikan kekuasaan Allah dan tidak bertentangan dengan Syara’ maka segala ilmu itu adalah ilmu yang syar’i dan terpuji.

Sehingga saat ini, saya masih tidak melihat apakah perbedaan antara Sains dengan Sains Islam. Begitu juga sampai hari ini saya tidak mengerti apakah ajaran Sains di Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia dan yang seangkatan dengan mereka, mereka bisa memberi beda yang cukup terang antara Sains dan Sains Islam.

Bacaan lanjut:  http://www.kesturi.net/archives/729

Label: , , ,

2 Respons to “Bucaillesme : Kekalutan Tokoh Agama Mengimani Sains”

  1. sahid bakar Says:

    Pada pandangan saya, Sains Islam itu berasal daripada perkataan panjang yang cuba dipendekkan dan dijadikan ‘term’ atau sebuah kosa kasa dalam bahasa. Pemahaman saya, Sains mengikut penilaian islan atau sains yang telah mengalami tapisan agar bersesuaian dengan etika islami yang dipendekkan menjadi Sains Islam. Pada dasarnya memang tiada istilah Sains Islami itu kerana ilmu Sains tetap adalah ilmu kajian untuk pembuktian. Contohnya seperti penemuan kaedah klon manusia yang dilarang dalam Islam. Klon itu adalah ilmu Sains. Jika Sains Islamnya bagaimana? Adakah kita menidakkan kaedah klon itu atau kita memaksa diri kita mempercayai bahawa klon itu tidak mungkin berhasil, lalu dengan itu kita telah mendalami ilmu Sains Islam? Susah juga nak memahami Sains Islami ini.

    Saudara Asri, teman sekuliah.

    Saya tetap beriman bahawa Tiada Istilah Ilmu Masakan Islam kerana Islam hanyalah memberi panduan. Islam itu bukan makanan dan tidak boleh dimakan.

    Begitu juga bahasa Sains itu bukan Islam dan Islam bukan Sains. Tetapi Islam memberi batas-batas dalam Sains.

    Kalau mahu tetap mengatakan bahawa Sains Islam itu maujud, maka berilah contohnya dan contoh sains bukan islam. Lalu akhirnya; mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui bahwa beda antara kita dan mereka hanyalah sebatas “yang dibolehkan” dan “yang dilarang”.

  2. fitnah dajjal Says:

    Hai saudara-saudaraku seIslam lagi mukmin dalam golongan ahli sunnah waljamaah sejati!

    Untuk memecahkan kejumudan dan kejahilan hal yang dilontarkan oleh orang yang entah dari mana. Kesamaran asalnya, kesamaran apa perjuangannya, kesamaran siapa ketuanya dan kesamaran agen siapa. Untuk melihat bagaimana bacul dan pengecutnya, silakan ke:

    https://loluconagama.wordpress.com/2009/04/25/surat-kepada-ustaz-imp-islamic-manufacturing-practice/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: