Bismillah hirrahma nirrahim
Assalamualaikum
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita ni’mat Islam dan Iman. Kepada Dia semua penyangjungan dan penghormatan diajukan. Dan dengan Dia juga kita memohon dan meminta. Dialah Yang menghidupkan. Dialah yang mematikan. Dia yang memerintah dan Dia yang menghukum. Selawat dan salam atas Rasul junjungan. Yang memberikan sebenar-benar pendidikan dan pengajaran. Dia senantiasa menyampaikan kalimat Tuhannya tanpa curang. Dia lah juga yang senantiasa mengingatkan kita dari bid’ah dan keta’suban. Semoga sahabat dan pengikut sahabat yang meneruskan jejak baginda akan kita turuti dan ikuti hingga henti nafas kita ini. Maka hentikanlah kami atas Iman dan Sunnah al Mustafa.
Amma ba’du:
Saya tidak menyangka bahawa artikel saya bertajuk Wang Judi Dalam Akal Budi Melayu Dan Agama mengakibatkan banyak teguran disuarakan. Maka saya hadir untuk mengungkap maaf andai benar saya berdusta dan terlanjur.
Maka saya menulis untuk Dr Asri Zainal Abidin dan juga untuk IQ, sebagai permohonan maaf andai “tokoh” tersebut dinyatakan secara terang-terang adalah Dr Asri dan andai saya menfitnah diri tuan.
UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA PARA PENEGUR ATAS KELEMAHAN DIRI
Maka saya secara rasmi mengatakan bahawa artikel saya itu adalah pandangan saya, bukan mewakili Ust Fathul, atau Dr Fadhlan atau iLMU. Malah ruangan dalam UMNO ONLINE tidak menyatakan bahawa pojok tersebut khusus untuk iLMU. Oleh kerana itu, saya bermohon agar para syeikh dan para ulama yang terpanggil untuk menegur dan membimbing saya dapat memahami bahawa artikel itu disuarakan dari rasa hati saya.
Kepada seluruh insan yang menegur saya, saya mendoakan agar kalian diberi ganjaran oleh Azzawajalla dengan kebajikan dan pahala. Kesungguhan kalian itu insyaallah akan Allah hitung sebagai jihad di jalan-Nya. Saya juga memohonm agar selepas ini dan sehingga seterusnya, para syeikh dan para ulama ini akan terus membimbing saya.
SAYA MENGHORMATI MANTAN MUFTI, DR ASRI ZAINAL ABIDIN
Lebih penting lagi adalah perlu dijelaskan bahawa saya menghormati Dr Asri Zainal Abidin. Malah saya tetap menganggap beliau sebagai tokoh agama. Dan saya juga percaya bahawa para syeikh dan para ulama Malaysia yang menegur saya adalah terdorong dari wawasan agama – agama itu nasihat. Makanya saya mengucapkan jutaan terima kasih.
Saya juga memohon maaf jika saya ada menyerang peribadi beliau yang selama ini saya anggap tokoh agama di Malaysia. Namun saya juga mahu bertanyakan kepada para syeikh dan para ulama Malaysia – moga kalian maafkan kejahilan saya – apa itu serangan peribadi? Kerana dikatakan saya menyerang peribadi beliau.
DR ASRI MENGINSPIRASI KEPADA DIRI SAYA
Tanpa sadar saya menyanjung kaedah yang digunapakai oleh Dr Asri Zainal Abidin dalam berhujjah. Masakan kalau saya tidak menghormati beliau, maka saya mengambil pendekatan beliau.
Saya selalu mengingat kata-kata beliau “Mereka manusia dan kita juga manusia” [huwa rijal wa nahnu rijal] .Yang menggambarkan manusia bisa berbuat silap, malah manusia juga bisa dikomentar dan bisa menerima komentar. Maka saya mendapati bahawa Dr Asri selalu mengkritik dan juga mengaku bersedia untuk di kritik.
[1] Dr Asri Mengkritik Syeikh Muqbil dan Syeikh Rabi’
“Hal ini merujuk kepada al-Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali dari Arab Saudi. Seorang tokoh yang kontroversi. Alirannya terkenal dengan menghukum sesat, fasiq dan seakan mengkafirkan sebahagian besar ulama zaman kini. Aliran ini terkenal dengan sikap melampau dan bersedia menghukum sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan me-reka. Mereka mendakwa mereka berpegang dengan pegangan Salaf dan mereka merupakan Salafiyyah”. [“Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong” di halaman 21 nota kaki 1]
Juga boleh rujuk:
http://www.4shared.com/file/22599511/cc42eb55/Dr_Asri_Melabel_Sheikh_Rabee_Bermanhaj_Khawarij.html
Ada juga rakaman Dr Asri menjumudkan Syeikh Albani dan Bin Bazz semasa ceramah beliau di Muhammadiyah, Singapura.
[2] Dr Asri Menkritik Jabatan Agama Islam- JAKIM
“Semua maklum bahawasanya jabatan yang paling lembab di Malaysia adalah jabatan agama. Jabatan agama perlu memajukan diri mereka setaraf dengan jabatan-jabatan dan organisasi lain, barulah imej agama Islam dan perkhidmatannya akan di pandang tinggi. Ambil contoh sebuah kes perceraian yang memakan masa hingga 10 tahun baru diselesaikan, bukankah itu lambing kelembapan” [Milenia, Januari 2007, Thn 5, Bil 53]
[3] Dr Asri Mengkritik Dr Uthman El Muhammadi dan Prof Madya Dr Fakhruddin Mukti
“Pihak RTM 1, pula semalam (28 Disember 2009) menyiarkan siaran langsung Hj. Uthman Muhammady dan seorang penceramah yang tidak dikenali membuat tafsiran yang salah terhadap perbezaan pendapat dan usaha pembaharuan”
[4] Dr Asri Mengkritik Datuk Mohammed Khusrin Munawi
“…namanya kerana sebagai seorang yang tahu bahasa Arab, perkataan khusrin bermaksud ‘satu kerugian’. Sesiapa yang baca Surah al-‘Asr, dengan sendirinya tahu maksud tersebut. Saya lebih selesa sebut ‘Pengarah JAIS’ sahaja. Sahabat-sahabat ada yang bergurau kata mereka ‘kalau ada Asri tentu lepas itu Khusrin’. Mereka barangkali merujuk kepada Surah al-‘Asr yang menyebut perkataan ‘Asr dan khusrin. Ya, biarlah itu nama beliau”
[5] Dr Asri Mengkritik Para Ustaz Pondok
“Apalah selekeh, orang sedang bincang macam-macam, Atheis, Islam liberal, nak bincang masalah orang-orang yang tak nak baca yasim malam jumaat. Apa benda masalahnya, engkau bacalah…”
“Baginya tokoh ulama hanya guru pondoknya. Para ulama timur tengah langsung tiada tempat dalam dirinya. Seakan-akan Nabi s.a.w itu dulunya lahir di kawasan pondoknya.”
“Malangnya, ada seorang penulis keluaran pondok Kelantan yang kekadang menulis di dalam majalah-majalah, seakan menganggap seseorang seperti al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani tidak boleh dianggap sebagai tokoh ulama dalam ilmu hadith kerana tidak menghimpunkan sanad. Inilah adalah satu kejahilan yang amat nyata. Inilah bala bila semua orang cuba mengaku pandai dan mencampuri apa yang bukan urusannya”
[6] Dr Asri Mengkritik Jawatan Mufti
“Saya berhenti menjadi Mufti, bukan saya serik. Jadi mufti apa nak serik. Boleh duduk diam-diam dan enjoy dengan jawatan. Jangan banyak cakap atau bangkang. Boleh pergi mesyuarat hotel sana, dan hotel sini. Lawatan sana, lawatan sini. Masuk ke tempat mahal-mahal. Ada kereta rasmi, terbang sana, terbang sini dan cukup bulan ambil gaji. Diam dan jangan peduli sangat apa yang sedang berlaku, maka jawatan itu satu nikmat yang ‘sukar hendak dilepaskan”.
[7] Dr Asri Mengkritik Nuruddin Al Banjari
“Dulu saya pernah tegur, ada guru dari Indonesia yang diberikan lesen berceramah di masjid-masjid di Malaysia mendakwa sesiapa yang berjabat tangan dengannya bererti berjabat tangan dengan Nabi s.a.w maka akan masuk syurga. Beliau membuat majlis di masjid-masjid membaca hadis musalsal berjabat tangan atau disebut al-Musalsal bi al-Musafahah. Lalu beliau pun baca hadis palsu berkenaan: “Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku sehingga hari kiamat maka dia masuk syurga”. Maka orang ramai yang terpengaruh pun akan berjabat tangan dengannya dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w”
Makanya, apabila Dr Asri bisa mengkritik seseorang pasti beliau juga sudah bersedia untuk di kritik. Persoalannya yang harus dibincangkan adalah “apakah kritik itu benar” atau “sebuah kritik tanpa asas”. Bukan menjadi masalah “tidak boleh kritik Dr Asri”. Ini sudah menyalahi prinsip “Mereka manusia dan kita juga manusia”.
Justeru saya melihat budaya kritik ini tiada masalah dalam bidang keilmuan, kerana hujjah yang benar bisa dicabar dan mencabar. Maka seperti juga macalah Telan Air Ludah yang dikemukakan oleh Dr Asri; sama ada kebenaran cerita itu sah atau batil, masalah tersebut bisa dibahaskan dengan ilmiyah berserta bukti emperikal. Begitu juga dengan hujjah yang saya bawakan, seperti kerajaan Persekutuan membayar gaji kakitangan dengan wang pendapatan kerajaan sementara wang dari hasil cukai digunakan untuk pembangunan infrastuktur Negara. Wang judi tidak pernah diberikan terus kepada individu melainkan dilaburkan atau digunakan untuk pembangunan Negara.
Bisa dicermati dalam tulisan Dr Asri bagaimana beliau mengimarahkan pelbagai pandangan dan menganggap perbuatan “mengharamkan” atau “menegah” dari mengutarakan pandangan adalah sebuah tindakan anti-akademik:
“Saya amat bimbang pendekatan yang dibuat oleh KDN mengharamkan buku-buku yang tidak selaras dengan pandangan panel yang dilantik oleh mereka. Tindakan ini kemungkinan boleh menjuruskan negara kepada sikap anti-akademik, jumud dan tidak terbuka. Itu bukanlah pendekatan dalam membangunkan minda rakyat dan percambahan ilmu. Tidak wajar sesebuah buku diharamkan melainkan terbukti mengancam keselamatan negara (tafsiran yang betul) atau jelas tanpa syak ia bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Kita patut mengizinkan kepelbagaian tafsiran dan pemikiran hidup dalam negara ini secara sihat, selagi ia tidak menghina Allah dan RasulNya. Alasan-alasan pengharaman yang hanya menyebut “boleh mengelirukan orang ramai” lalu sesebuah buku diharamkan amat tidak munasabah. Itu membawa kepada sikap primitif yang tidak layak bagi masyarakat moden”.
SERANGAN PERIBADI DAN JUGA SILAP LOGIK PIKIR
Molek kiranya saya nyatakan pemahaman saya, agar para ulama’ Malaysia dapat meluruskan kerancuan pikiran saya ini. Saya berpahaman bahawa serangan peribadi adalah sebuah alasan yang dibangun untuk menolak seseorang, dengan menggunakan dalil-dalil yang tidak menyangkut dengan isu dan juga hal itu bersifat peribadi atau bersifat alami [kejadian tuhan]. Saya menuturkan contoh-contoh dibawah ini sebagai rekaan semata-mata. Tidak berkaitan langsung dengan Dr Maza, ia hanya sebagai contoh sahaja.
Contohnya begini; saya menyerang Dr Asri agar kredibeliti beliau jatuh dengan mengaitkan beliau dengan sifat fizikal beliau: “Dr Maza itu terpengaruh dengan Neo Khawarij kerana gigi beliau jongang sedikit”. Maka apa perkaitan jongang dengan pertengaruh akan faham khawarij?
Atau saya mengaitkan beliau dengan kondisi sifat kelakuan alami [yang telah Tuhan ciptakan untuk beliau] seperti: “Dr Maza itu pro pembangkang kerana beliau cepat melenting apabila ditegur orang”. Maka apa perkaitan sifat cepat melenting dengan pro pembangkang?
Atau saya mengaitkan beliau dengan sesuatu diluar kawalan beliau: “Beliau tidak adil kepada pemerintah kerana ayahnya sudah renta dan nyanyuk”. Timbul persoalan; apa kaitan ayah beliau yang sudah uzur dengan sifat adil?
Namun sekiranya sebuah alasan itu dibangunkan dengan menyentuh tabiat atau pemikiran atau kelakuan, sedangkan mauduk yang sedang dibeberkan itu adalah hal-hal yang tercakup dalam sifat kelakuan atau tabiat atau pemikiran, justeru penggunaan dalil tersebut adalah sah dan bukan merupakan penyerangan peribadi.
Saya contohkan sebegini: Seorang suami yang beristeri 2 telah diajukan bantahan dari isteri tua dengan berkata: “Abang tidak adil kerana sentiasa memberi muka kepada Halimah. Apa yang beliau lakukan sentiasa abang iyakan”. Maka dalam persoalan ini, isu ADIL diungkapkan dengan membawakan SIKAP sang suami. Oleh kerana itu, hujjah si isteru dikira diterima [benar atau palsu akan hujjah ini adalah hal lain pula] dan tidak menyerang peribadi suaminya. Yang dikatakan menyerang peribadi suami apabila isteri tua berkata: “Abang tidak adil dengan saya kerana abang belajar agama tanpa sijil”.
Begitu juga bila kita mahu menggambarkan sikap kikir, andai kata seorang teman berkata kepada sahabatnya: “Engkau ini kikir dengan ibu bapa. Engkau memiliki kereta yang besar namun engkau tidak pernah mahu memberi mereka makanan yang sedap-sedap”. Disini penghujahan sikap “member makan yang sedap-sedap” diterima sebagai bukti sang anak itu kedekut harta. Yang dikatakan menyerang peribadi adalah apabila teman itu berkata: “Engkau kikir kerana muka engkau bengis”.
SERANGAN PERIBADI ATAS DIRI SAYA
Saya tidaklah marahkan para pembaca tulisan saya itu apabila mereka menyerang “peribadi saya” dalam membela “serangan peribadi” terhadap tokoh tersebut. Ibaratnya mereka terjerumus dalam kejahatan ketika mahu membela kebenaran.
Ini kerana saya berpahaman bahawa serangan peribadi adalah seperti yang telah saya maklumkan. Namun mereka yang memahami “serangan peribadi” seperti umum – yang biasa – telah tanpa sadar menyerang saya. Lantas saya memaafkan mereka, agar seandainya saya juga berbuat silap maka mereka yang terlibat juga memaafkan saya.
CONTOH PARA ULAMA SUNNAH “MENYERANG PERIBADI” ULAMA / TOKOH LAIN
Untuk mengukuhkan lagi, maka saya bawakan contoh para ulama sunnah dalam mengemukakan hujjah atas SIKAP. Sekiranya kelakuan para ulama ini sebagai penyerangan peribadi, maka secara lalai kita telah menuduh para panutan kita berbuat curang.
[1] Syeikh Sholahudin Maqbul Ahmad Mengkomentar Syeikh Habibuirrahman al A’zhami
Syeikh Sholahudin Maqbul Ahmad di dalam hasyiah kitab Bahaya Mengingkari Sunnah: “Sikap ini terlihat pada diri tokoh-tokoh di kalangan mereka apalagi di kalangan umum (awam). Contoh yang paling dekat adalah sikap Syaikh Habiburrahman al-A’zhami al-Hanafi al-Hindi. Ia tumbuh dalam pengabdian kepada sunnah nabi sampai usia 60 tahun lebih. Ia juga mentakhrij buku-buku hadits lebih dari 40 jilid. Akan tetapi sikap fanatiknya tidak berubah, sehingga usahanya itu tidak berguna, kecuali ia hanya menegakkan hujjah atas dirinya sendiri. Kami memohon keselamatan kepada Allah! …. Begitulah perilaku orang fanatik. Herannya, bagaimana mereka bisa bersikap lapang dada terhadap riwayat yang diputarbalikkan tapi mendukung pendapatnya ini, sebaliknya mereka tidak suka riwayat yang bertentangan dengan pendapatnya. Kita berlindung kepada Allah dari perubahan ini dan dari sikap ridha terhadap perubahan dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam” [Lihat Jawabi’ fi Wajhi Sunnah Qadiman wa Haditsan karya Syaikh Sholahudin Maqbul Ahmad, (terj.) “Bahaya Mengingkari Sunnah”, Pustaka Azzam hal. 250-251]
[2] Syeikh Albani Mengkomentar Syeikh Habiburrahman al A’zhami
Syaikh Albani berkata tentang Habiburrahman Al A’zhami: “Salah seorang musuh Sunnah dan musuh penyeru Tauhid, Syaikh Habiburrahman al-A’zhami yang bersembunyi di balik nama samarannya Arsyad as-Salafi, karena dia tidak punya keberanian dan takut berpolemik secara ilmiah dan beradab. Ini dia lakukan di dalam karyanya yang berjudul Al-Albani Syudzudzuhu wa Akhtha’uhu.” [Muqoddimah Adabuz Zifaf fis Sunnatil Muthohharoh, terj. “Panduan Pernikahan Cara Nabi”, penerbit Media Hidayah, hal. 13]
[3] Syeikh Albani Mengkomentar Syeikh Hamud At Tuwaijiri as Salafi
Dalam Sifat Solat Nabi, Syeikh Albani berkata: “Hal semacam ini tidak menyenangkan bagi orang yang menjadi pengikut Mazhab Hanafi dan orang yang fanatic terhadapnya, sekalipun pendiriannya bertentaangan dengan sunnah…. Inilah sikap orang yang fanatik mazhab yang mengatasi terhadap hadith shahih. Dia menjadikan sikap Imam Ahmad yang longgar mengenai tempat bersedekap sebagai alasan menolak hadith yang menyatakan bahawa bersedekap itu tempatnya di dada”. [Sifat Solat Nabi, Edisi Revisi, hal. 24-25]
[4] Syeikh Abdussalam Mengkomentar Terhadap Syed Qutb
“Sudah dimaklumi bahawa Sayid Qutub bukanlah seorang yang menguasai ilmu agama. Dia hanyalah seorang penulis (sasterawan) berpegang dengan mazhab Asy’ari. Terdapat banyak kesalahan yang keterlaluan dan keji di dalam tulisannya, malangnya apabila Sayid Qutub diberi teguran (oleh para ulama), para pendokong Qutubiyah bangun membantah dengan kata- kata yang keji” [Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm. 98. Raja as-Suhaimi]
[5] Syeikh Albani Mengkomentari Syeikh Abdullah Ghumari
Syeikh Albani berkata: “Al Ghumari berpura-pura bodoh – seperti yang sudah menjadi kebiasaannya dalam menolak kebenaran – bahawa Ibn Juraij…… jadi terserahlah kepada Al Ghumari apakah ia mahu menerima semuanya atau menyanggahnya. Akan tetapi ternyata dia tidak berbuat apa-apa. Bahkan dia mengelak dengan menggunakan pepatah “Melarikan diri adalah setengah keberanian”.” [Sifat Solat Nabi, Edisi Revisi, cetakan Media Hidayah, hal. 33]
Apabila saya meneliti perkataan-perkataan para Ulama Sunnah yang tulen ini, saya dapati bahawa mereka memang “menyerang peribadi” ketika sedang membahaskan masalah sikap dan kelakuan para tokoh yang mereka singgung. Sehingga menjadi jelaslah kepada saya bahawa “serangan peribadi” itu adalah mengungkapkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan isu sikap yang sedang dibicarakan. Sedangkan menerangkan kondisi jiwa, kelakuan, tindakan dan tabiat para tokoh yang sedang dibicarakan terhadap masalah SIKAP, adalah sebagai lumrah dan kebiasaan. Terlebih lagi kepada ulama yang bergulat dalam bidang hadis – ilmu rijal wa ta’dil.
Maka “penyerangan peribadi” yang sering kita pahami sebenarnya bukan “penyerangan peribadi secara hakiki”. Sebaliknya adalah kekeliruan kita untuk memahami letak duduknya kaedah perbahasan dan perdebatan.
Lantas masalah SIKAP itu menurut kepahaman saya adalah adalah berganjak dari Etika Normatif atau Etika Diskriptif yang melibatkan Kelakuan atau Tabiat Manusia terhadap sesuatu perkara. Contohnya adalah MALAS, RAJIN, SOMBONG, DEGIL, JAHAT, BAIK, PEMBOHONG, CURANG, TIDAK ADIL, AMANAH, BERHATI MULIA, MENGHORMATI TETAMU dan CONDONG KEPADA SESUATU. Ini adalah isu sikap dan kelakuan. Maka menceritakan tabiat seseorang dalam pembuktian sikap tersebut adalah boleh sahaja.
PENGGUNAAN BAHASA YANG KASAR DALAM AQAL BUDI MELAYU
Dalam bahasa, kata-kata sifat seperti sangat, cantik, besar, kecil, lembut, kasar, keras dan sebagainya merupakan kata-kata yang subjektif. Begitu juga setiap kata mempunyai notasi, konotasi dan emosi. Setiap manusia bertindakbalas dengan berbagai ragam emosi pada sebuah kata.
Ada orang yang merasakan “mati” itu terlalu kasar untuk manusia dan ada orang menganggap bahawa “mati” itu tidak ada apa-apa. Ada orang yang akan menjeling bila kita menggunakan “taman” kepada manusia tetapi ada setengah orang menganggap “tanam” itu kata yang biasa, semakna dengan kebumi.
Maka bagi saya, menetapkaan sesebuah tulisan itu bersifat kasar atau terlalu keras, adalah bersifat subjektif, agak abstrak dan sukar dibuktikan.
Mungkin Allah telah menganugerahkan kepada saya dengan Dia mengumpulkan sedikit ilmu sosiologi, psikologi dan akal budi melayu dalam jantung saya. Sehingga itu saya memahami bahawa “keras” atau “lembut”nya orang melayu ini. Saya melihat dalam kitab Surat Keterangan Syeikh Jalaluddin Karangan Fakih Shaghir yang ditula pada 1829M: “Sebab banyak terbit hujat dan burhan daripada saya , banyaak asung fitnah daalam negeri, dan banyak pulalah bantahan mereka itu. Maka jadilah saya dibuangkan orang, dan berapa kali diserangnya saya punya madrasah. Dan kerana sangat keras bantahan mereka itu, sangatlah zahir benar perkerjaan agama, dan banyaklah orang memakai agama Islam…”
Surat ini beliau tulis sesudah Minangkabau didatangi Belanda, yang memuatkan cerita pertembungan antara Faham Kaum Tua dan Faham Kaum Muda [Kaum Pederi] sehingga tercetusnya Perang Paderi. Adalah sebuah sejarah tentang bagaimana pengaruh sunnah pertama sekali masuk dalam alam Melayu dan juga menceritakan bahawa penentangan serta peperangan pertama antara aliran sunnah dan aliran tradisional terjadi dalam dunia Nusantara.
Justeru, aqal budi melayu yang saya jumpai dalam kitab-kitab klasik seperti Sulalatus Salatin, Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Pendawa Lima, Surat Keterangan Syeikh Jalaludin, Surat-Surat Raja Ali Haji, Tauhfat An Nafis dan Syair Siti Zubaidah; memberikan saya gambaran yang luas bahawa Melayu itu bukanlah selembut yang kita sering fikirkan.
PERMASALAHAN UTAMA
Justeru saya memahami permasalahan utama dalam kasus keributan ini adalah pernyataan saya yang mengatakan bahawa “tokoh” tersebut tidak ADIL dalam menasihati pemimpin Kerajaan dan pemimpin Pembangkang. Dan juga “tokoh” tersebut TERPENGARUH DENGAN PEMBANGKANG atau bahasa lainnya terpengaruh denganh Neo Khawarij.
Maka di sinilah harus menegur dan membimbing saya, dengan membawakan burhan ibarat mentari yang tidak bisa ditutupi dengan sehelai daun pisang.
Justeru sekiraanya apa yang saya nyatakan pada titik ini merupakan sebuah keterlanjuran, maka saya memohon maaf kepada “tokoh” tersebut dengan setulus hati. Kesalahan saya dalam membawakan hujjah, kegopohan saya dalam menghukum dan kejahilan saya dalam berilmu; sekiranya terbukti – saya dengan rendah diri untuk meruju’ kembali.
Sesungguhnya kebenaran dengan cara yang benar jua lah yang kita cari.
Maka dari itu, saya mohon jasa baik para Syeikh dan Ulama Malaysia, membawakan burhan dalam masalah ini, bukannya mengaitkan bahawa perlakuan saya mengkritik “tokoh” tersebut sebagai sebuah masalah yang batil. Tetapi yang harus dibahaskan adalah penghujahan saya. Seandainya “mengkritik Dr Asri merupakan masalah”, maka saya tidak akan memohon maaf dan menggadaikan prinsip saya.
PENDIRIAN SAYA SEBAGAI AHLUS SUNNAH
Oleh kerana itulah, sebagai ahlus sunnah yang meniti pada jejaknya salaf, saya sangat penasaran dan antusias pada pandangan sahabat. Saya beriman bahawa mereka menyaksi langsung akan pemaknaan Al Kitab dan perlaksanaan As Sunnah; yang demikian menjadi hujjahlah keberadaan mereka pada sisi kita.
Mengikut sahabat bererti juga untuk menerima teguran daan mengaku berbuat silap. Senada dengan itu adaalah tidak memaksumkan manusia dan tidak mensucikan pemikiran selain mereka.
Kerana itu saya menulis surat ini untuk menyatakan bahawa sekiranya pemikiran dan penulisan saya ini berupa sebuah fitnah, maka saya memohon keampunan kepada Allah, Rasul dan “Tokoh” tersebut. Moga beliau bisa memaafkan saya sekiranya terbukti bahawa sayaa telah menfitnah beliau.
Selain dari itu, para salaf juga telah berpesan kepada saya melalui kitab-kitab aqidah yang telah saya pelajari dari guru-guru saya; bahawa saya diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya untuk berdiri kokoh bersama-sama penguasa: membimbing tangan mereka ke arah jalan yang benar, menasihati mereka ketika mereka tergelincir, menahan diri dari mengikuti arahan mereka yang batil, tetap bersama mereka dalam hal-hal ma’ruf dan membenci perbuatan kejahatan yang mereka lakukan namun menasihati mereka secara sendirian.
Saya juga diingatkan untuk menentang kaum penentang dan pemecaahbelah ummah. Tetapi kemampuan saya bukanlah untuk menebas batang leher mereka sebaliknya adalah dengan pena. Saya tetap beriman bahawa menjadi kaum pembangkang kepada pemerintah yang sah – apakah dia naik secara demokrasi atau monarki atau secara konsensus , atau apa sajaa system yang lainnya – itu haram. Kerana telah jelas secara gamblang petunjuk dari Nabi Muhammad akan kaedah menaasihati penguasa yang zalim.
Begitu juga saya tetap beriman bahawa Ibn Muljam itu khawarij walaupun dia kelihatan sangat wara’. Kerana kebenaran itu bukan bersama tokoh tetapi kebenaran itu adalah perkataan Allah, perkataan Rasulullah dan pemahaman sahabat atas kedua sumber ini.
INDAHNYA KALAU SYEIKH MUQBIL DAN SYEIKH RABI’ DI BERI REAKSI SEPERTI INI
Saya sempat berkhayal sekiranya Dr Asri Zainal Abidin yang telah menulis tentang Syeikh Muqbil dan Syeikh Rabi’ adalah terpengaruh dengan Khawarij pada beberapa tulisan beliau, sempat juga beliau membawakan sokongan berupa perikan para ilmuan dunia yang bukan dari aliran salaf : saya sangat berharap bahawa para syeikh dan para ulama Malaysia yang telah menegur saya, yang menelefon Ustaz Fathul Bari, yang menelefon Ustz Ahmad Tajuddin; bahawa mereka telah melakukan hal yang sama atas Mantan Mufti yang kita sanjung itu. Berharap juga mereka menulis surat rasmi mohon penjelasan, bahawa mereka juga menulis surat secara peribadi dan menagih hujjah.
Begitu juga ketika ada dari antara kita yang menganggap Syeikh Bin Bazz dan Syeikh Uthaimin sebagai jumud dalam sains apabila kedua syeikh itu menentang “teori” bumi mengelilingi matahari. Saya berharap para syeikh dan para ulama’ Malaysia ini tampil menegur, menelefon, menulis surat dan mengajak bersemuka untuk mendapatkan penerangan.
Malah ketika guru saya, Ustaz Abu Faruq Rasul Dahri dihentam dan dihujat sama ada secara “public” di dalam Al Ahkam atau Al Fikrah, atau dalam ceramah-ceramah para ustaz-ustaz kita, atau juga pada majlis “Ketuk Cawan” yang saya hadiri sekitar tahun 2006, saya sangat berharap bahawa para Syeikh dan Ulama Malaysia, tampil kedepan lalu menasihati pihak yang menghujat itu, atau mereka menelefon dan mengajak para penghujat itu berlunak, atau menulis surat rasmi kepada penhujat itu ataupun mengemukakan nota bantahan dan nota minta penjelasan kepada para penghujat itu.
Namun, saya tidaklah berbasi-basi kepada kasus guru saya ini atau teman saya ini, melainkan saya sangat terasa apabila dua syeikh besar dunia, yang dikenal seantero bumi, yang kitab-kitab mereka bertebaran dan dibaca oleh semua umat islam, yang mereka ini mendapat kata pujian dari para ulama besar dunia Sunnah. Mereka dipersaksikan oleh 3 masyaikh Umat islam – mujaddid abad ini – sebagai pembawa panji kebenaran. Namun mereka berdua ini dihujat, dihina, dikaitkan dengan aliran sesat dan dilabel sebagai Ulama Jalur Keras atau Madkhaliun atau Salafi yang memiliki sedikit pemikiran Khawarij; saya sangat berharap bahawa tuan-tuan yang menasihati saya berdiri dan tampil kedepan membela kedua syeikh ini dengan adil.
Saya berharap tuan-tuan bersikap adil kepada kedua masyaikh ini sepertima tuan-tuan cuba bersikap adil kepada Dr Asri.
PENUTUP
Saya yang dhaif dan tidak berilmu ini sekadar mengemukakan pandangan. “Mereka Manusia Sedang Kita Juga Manusia”. Saya mengemukakan pandangan dalam gaya penulisan saya. Ini adalah pandangan saya. Tuan-tuan juga mempunyai pandangan sendiri. Maka saya tiada masalah untuk menerima pandangan yang dibina atas hujjah yang akurat, yang cocok pada pemahaman sahabat. Malah saya bersedia untuk menarik dan memohon maaf kepada semua yang terlibat ; sekiranya pandangan yang saya imani, atau penulisan yang telah saya coretkan ini terbukti secara pasti menyalahi hakikat.
Walaubagaimanapun; keperihatinan, tunjuk ajar dan nasihat yang tuan-tuan berikan, berupa sebuah nikmat kepada saya dan sebagai sebuah ole-ole dari orang yang lebih berpengetahuan dari saya. Syukur Alhamdulillah kerna tuan-tuan masih mahu membimbing saya. Amin.
Wassalam
Abu Amru Mohd Radzi Bin Othman
Ampang, Kuala Lumpur
10/10/10
Tinggalkan Jawapan