Signifikan Haji: Sudah Sampai Masanya Kita Bersatu

Mengukur Kefahaman Beragama

Eid Adha baru sahaja berlabuh dengan meninggalkan sejuta makna pada penganut Islam. Namun ada sebuah makna yang harus ditanya. Sebuah pertanyaan yang mendasar dan menggugat, selalunya akan dijawab dengan tentangan ataupun fitnah. Tidak kurang juga yang menjawabnya melalui pedang dan jejari besi penjara. Hanya Tuhan tempat kita mengadu.

Sebaliknya manusia yang mempunyai hujjah dan berpegang teguh kepada nilai kesarjanaan akan berusaha menjawab soalan dengan dalil dari Al Kitab mahupun As Sunnah. Kalau keduanya tidak ada maka mereka akan membawakan pandangan sahabat atau tabi’in. Inilah dasar Mazhab Salaf – Ahlus Sunnah yang sebenar: memami Al Qur’an dan As Sunnah melalui pemahaman para Sahabat. Lalu sekiranya hal-hal itu berupa perkara yang baharu, mereka akan meleraikannya dengan fatwa ulama Ahlus Sunnah yang mu’tabar di zaman ini.

Oleh yang demikian, sebuah soalan harus ditanyakan kepada diri kita masing-masing bagi mengukur setakat mana kefahaman agama dalam diri kita dan setakat mana tindakbalas kita terhadap soalan yang menggugat diri kita. Apakah kita akan menabur fitnah juga atau kita berusaha untuk mengikuti kebenaran dengan melakukan pengkajian?

Soalan Yang Menggemparkan Para Pendidik

Ada sebuah soalan mengenai satu masalah dalam solat. Soalan tentang sumber bacaan sujud sahwi yang kita amalkan: “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu”. Para imam Mazhab Syafi’e telah ditanya: “Mana sumber bacaan ini? Dari hadith siapa? Dari kitab mana?”. Lantas para imam Mazhab kita telah menjawab bahawa lafaz itu sangat asing dari ilmu Islam malah tidak diketahui asal usulnya. Paling penting itu bukan bacaan dari Rasulullah saw, malah bukan juga dari sahabat. Bukan juga dari tabi’in.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut: “Aku tidak pernah menemui asal usul bacaan ini.” Lalu Imam Nawawi  menjelaskan bacaan sebenar: “Sujud syahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu”. (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72)

Lantas timbul pertanyaan: “Siapakah yang mengajarkan kita bacaan demikian? Apakah mereka ini sengaja membelakangi hadith dan fatwa para ulama Syafie atau sebenarnya mereka tidak mengetahuinya tetapi hanyalaah taqlid buta?”.

Begitu juga ada persoalan lain timbul: “Bagaimana mungkin amalan solat yang setiap hari kita lakukan, kita masih tidak menemukan cara yang benar yang mengikut petunjuk sang pembawa wahyu – Nabi Muhammad saw?”

Bermakna bahawa kita masih jauh dari ilmu Islam dan aktiviti ilmiyah sehinggakan ibadah wajib yang kita lakukan setiap hari pun masih belum mencapai kesempurnaan. Kalau keadaannya begitu, hal-hal yang lebih besar, pastinya kita lebih jauh dari petunjuk hadith dan pemahaman para ulama Ahlus Sunnah. Hal yang besar itu pasti berupa hal-hal yang lebih rumit dan memerlukan penjelasan dari para ulama mu’tabar. Permasalahan sebegini pastinya kita lebih banyak tergelincir dari pesoalan bacaan sujud sahwi.

Persoalan Imamah Merupakan Hal Yang Besar

Antara persoalan besar itu adalah hal kepimpinan negara. Ia dirangkum dalam prinsip aqidah Ahlus Sunnah pada masalah wala’ wal bara’. Dengan hal inilah berpisahnya Syiah dari mazhab Ahlus Sunnah. Dengan hal ini jugalah Khawarij muncul dan memerangi Sunni. Kerana hal ini jugalah Uthman Bin Affan dibunuh dan kerana hal ini jugalah Ibn Muljan yang begitu wara’ percaya dia akan menemui Rabb dalam syurga walhal dia telah membunuh Khalifah Uthman.

Tetapi alangkah indah jika kita semua mahu melapangkan dada dan pasrah mengikuti petunjuk Rasulullah saw. Tidaklah Rasulullah saw itu meninggalkan Islam dalam keadaan lompong dan tanpa penjelasan. Yang tidak jelas adalah kefahaman kita seperti mana kita masih tidak jelas akan bacaan sujud sahwi. Hadithnya ada tetapi kita yang tidak jumpa. Fatwa ulama’ ada tetapi kita yang tidak rela.

Lalu Rasulullah saw telah mewariskan kita sejumlah besar hadith-hadith tentang kepimpinan dan politik. Hanya saja menunggu kita menerimanya dengan benar atau kita mengubah maksudnya mengikut selera nafsu kita. Nabi bersabda:

“Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu”. (H.R  Bukhari 13/5 & Muslim 3/1472)

Lalu kita menta’wil hadith tersebut dengan berbagai-bagai ragam padahal para Imam Ahlus Sunnah tidak pernah memahaminya sebegitu. Kita membuat andaian bahawa pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin yang memerintah dengan kitab Allah dan Sunnah Rasululillah. Walhal saat Imam Ahmad dipenjara oleh Sultan, Kerajaan Abbasiyah saat itu telah menjalankan hukum Mu’tazilah – sebuah hukum yang tidak mengikut Al Qur’an dan As Sunnah! Malah Sultan telah memenjara dan membunuh para ulama Sunnah yang masih mempertahankan aqidah Islam.

Imam Nawawi berkata tentang hadis di atas ini: “Dalam hadis ini terdapat suatu perintah supaya mendengar dan taat, walaupun penguasa zalim dan kejam. Hak untuk ditaati tetap wajib dijunjung, tidak boleh memberontak kepadanya. Bahkan semestinya tetap bertaqarrub dan berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kejahatannya dan menolak keburukannya”. (Syarah Muslim 12/232)

Siapakah Pemimpin Negara Yang Diiktiraf Islam?

Namun Imam Ahmad tetapi menyeru umat untuk mentaati penguasa dan menasihati rakyat untuk bersama-sama Sultan dalam hal-hal yang ma’ruf. Beliau berkata: “Sesiapa yang keluar (dari ketaatan) terhadap seorang pemimpin dari para pemimpin kaum muslimin, sedangkan manusia telah bersatu dan mengakui kepimpinannya dengan cara apapun – sama ada dengan redha atau dengan kemenangan (dalam perperangan) – maka sesungguhnya orang tersebut telah memecah-belah kesatuan kaum musilmin dan menyelisihi pesanan Rasulullah saw dan apabila ia mati dalam keadaan demikian maka matinya seperti mati jahiliyah. (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah)

Justeru, Imam Ahmad dan para ulama Ahlus Sunnah yang lainnya mengetahui bahawa urusan memimpin ini merupakan sebuah beban yang sangat berat dan sukar. Pastinya dalam memerintah itu seorang pemimpin akan berbuat silap dan tergelincir.

Namun kegelinciran pemimpin bukanlah sebuah alasan bagi kita untuk memisahkan diri dari pemimpin negara yang Muslim. Sebaliknya kita harus bersama-sama pemimpin tersebut dan menolong mereka. Malah kita diwajibkan untuk bersatu-padu dan menjaga kesatuan umat ini dibawah kepimpinan mereka. Sedangkan perpecahan adalah tercela dan mendapat murka dari Allah Ta’ala.

Imam Al-Qurtubi menegaskan:  “Sesungguhnya perpecahan hanya akan membawa kepada kehancuran, sedangkan jama’ah akan menghantar kepada keselamatan. Semoga Allah merahmati Ibnu Mubarak yang telah menjelaskan: Sesungguhnya jama’ah adalah Tali Allah, maka berpegang teguhlah dengannya”. (Al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub)

Perpaduan Adalah Bersama-sama Pemerintah

Ini kerana mengikuti dan mentaati pemimpin pada hal-hal yang ma’ruf adalah lambang umat Islam bersatu-padu. Bersama-sama pemimpin Negara dan tetap di atas aqidah Salaf – Ahlus Sunnah adalah makna sawadul a’zham. Malah hukum bersatu dan berpadu dengan pemimpin Negara dan meniti pada mazhab Salaf adalah fardu ain bagi setiap Muslim.

Berkata Imam Ibnul Atsir: “Dan yang dimaksudkan dengan ‘Alaikum bi as-Sawadul A’zham (Kamu di atas as-Sawadul A’zham) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemimpin) dan berjalan di atas jalan yang benar (mazhab salaf)”. (Ibnul Atsir, an-Nihayah Fi Ghoribil Hadis, 2/1029)

Inilah yang dikhabarkan oleh Ibn Khaldun dalam Mukaddimah pada sub tajuk Bagaimana Perpecahan Menimpa Kerajaan-Kerajaan: “Sebarang dinasti harus didirikan diatas dua tapak. Yang pertama adalah kekuatan, syawkah, dan perasaan ashabiyah…” (Mukaddimah, terbitan DBP, 2009, ms 361) Sebaliknya apabila kita tidak bersatu maka negara itu akan hancur akhirnya.

Lantas apabila umat sudah bercakaran dan tidak mahu mengikuti hadith supaya bersatu dengan pemimpin, lalu Allah menimpakan kita kekalahan dan kemunduran. Apabila kita tidak meniti pada mazhab Salaf maka Allah akan timbulkan berbagai macam bid’ah dan aliran pemikiran.

Justeru, ketika kita sedang menyaksikan jutaan jiwa di Arafah yang mengerjakan ibadah Haji dan kurban, maka sudah sampai waktunya untuk kita meninggalkan perbecahan dan kita kembali mengikuti sabda junjungan. Kita kurbankan lah cita-cita kita untuk merebut kuasa kerana kuasa itu adalah pemberian Tuhan. Kita harus bersatu dengan penguasa sepertimana saudara kita di Arafah itu bersatu untuk haji. Kita juga harus bersatu dalam mazhab Ahlus Sunnah yang sebenar – mazhab yang dianut oleh Sahabat Nabi.

Kita selama ini mungkin silap mentafsir makna keadilan dan kepimpinan sepertimana kita sering silap membaca doa sujud sahwi. Maka pada kesempatan ini, kita tinggalkan kesalahan kita dan menuju kepada dalil yang lebih kuat. Bermakna kita tinggalkan perpecahan dan kita bergabung bersama penguasa yang sah. Allah tidak akan tanyakan rakyat tentang negara tetapi Allah akan tanyakan kita tentang tanggungjawab kita kepada penguasa Negara. Tanggungjawab untuk ditaati pada hal ma’ruf, didoa dengan kebaikan, dicintati dan dimuliakan.

Advertisements

Label: , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: