Mempelajari Kaedah Rahsia Dalam Berhujjah

Saya akan ajarkan kepada para pembaca beberapa kaedah berhujjah yang terkenal dalam umat Islam.Camkanlah hal ini dengan baik dan ingatlah ia kerana perkara ini akan selalu kita hadapinya. Kaedah ini merupakan teknik rahsia yang hanya diketahui oleh mahaguru tertinggi.

Kaedah Pertama

Salah satu darinya adalah kita mendustakan kitab yang ditulis oleh tokoh yang menyerang pemahaman kita. Kita ciptalah pelbagai alasan agar tuduhan itu nampak rasional dan boleh diterima oleh masyarakat yang tidak mengetahui hakikat sebenar.

Kita ada tiga pilihan untuk tujuan tersebut; pertama kita katakan bahawa kitab itu telah dirubah oleh penerbit ataupun pentahqiq yang memang bermusuhan dengan mazhab kita. Mereka (penerbit atau pentahqiq) telah memadam perkataan sebenar tokoh tersebut dan memasukkan perkataan palsu lalu diatasnamakan pada tokoh berkenaan.

Kedua; kita katakan saja bahawa kitab itu ditulis semasa tokoh tersebut sesat atau pada fasa awal kehidupannya; sementara beliau telah ruju’ (taubat) di penghujung nafas sebelum meninggal dunia. Lantas sebab itulah kandungan kitab tersebut menyalahi aqidah kita.

Ketiga; kita terus nafikan kitab itu ditulis oleh tokoh tersebut sebaliknya kita lemparkan tuduhan bahawa kitab itu ditulis oleh musuh kita lantas dinisbatkan kepada tokoh ternama tadi.

Kita lakukan hal ini agar masyarakat tidak mengesyaki bahawa imam tersebut tidaklah beraqidah seperti aqidah kita walaupun kita menamakan mazhab kita sempena nama beliau. Seperti yang telah kita lakukan kepada kitab Al Ibanah Al Ushul Ad Diyanah karya Imam Asya’ari.

Sekiranya kita membenarkan kitab Al Ibanah itu sebagai antara karya terakhir sang imam, pasti secara automatik kita terpaksa mengakui bahawa aqidah yang kita sandang merupakan aqidah yang melencong. Malah Imam Asya’ari berlepas diri dari aqidah yang kita anut. Serta dengan nyata Imam Asya’ari menetapkan dalam kitabnya bahawa mazhab Salaf sebagai aqidah yang benar.

Oleh itu bagi memastikan survival mazhab kita, kita wajib bermati-matian untuk mendustakan kitab tersebut walaupun para imam Ahlus Sunnah sepakat untuk menerima kitab itu. Seperti Ibnu Asakir, Imam Ad Dzahabi, Ibn Katsir dan banyak lagi para imam yang mengakui kitab tersebut antara karangan terakhir Imam Asya’ari.

Kaedah Kedua

Kaedah seterusnya adalah memalsukan perkataan para imam agar masyarakat melihat imam-imam Ahlus Sunnah bersama-sama dengan kita dalam mazhab yang kita anut. Dengan demikian kita akan mudah mempengaruhi masyakat untuk menerima dakwah kita; terutamanya bila kita berkata “pemahaman yang kita perjuangkan ini merupakan lanjutan dari pemahaman para salafus soleh. Buktinya kita memiliki senarai panjang nama ulama’ yang beraqidah seperti kita”.

Lantas kita katakan Imam Syafi’e menolak khabar ahad sebagai dasar aqidah. Juga katakan bahawa tokoh lain pun sama sependirian dengan Imam Syafi’e seperti Ibn Taimiyah, Ibn Katsir, Ibn Hajar Asqalani, Imam Nawawi dan banyak lagi.

Lantas kita ambil perkataan mereka yang bersifat umum lalu kita asak perkataan tersebut agar kelihatan bersesuai dengan aqidah kita. Justeru kita katakan kepada masyarakat: “Kita tidak wajib untuk mempercayai qadar, azab kubur, turunnya Isa, keluarnya Dajjal, dan banyak lagi hal-hal yang Rasulullah saw ceritakan tentang perkara akhir zaman.

Kita ambil contoh seperti Hizbut Tahrir yang mengatakan Ibn Hajar menolak keimanan yang bersumber dari hadis ahad. Kita katakan bahawa ucapan beliau dinukil dari kitab magnum opusnya iaitu Fathul Bari Syarah Shahih Bukhari. Balam masa yang sama kita sedia maklum bahawa dalam Fathul Bari, Imam Ibn Hajar menetapkan keimanan kepada qadar dan menentang orang yang menolaknya dengan memanggil mereka sebagai Qadariyah. Sang Imam beriman adanya azab kubur dan banyak lagi hal-hal keimanan yang berasaskan kepada hadis ahad.

Dalam masa yang sama kita berharap agar umat tidak membaca kitab-kitab aqidah para imam tersebut. Dan memang kita tahu bahawa orang awam tidak pernah melihat kitab aqidah mereka. Malah kita juga tahu bahawa ramai para guru tidak pernah membaca kitab-kitab aqidah para Imam Ahlus Sunnah ini walaupun mereka belajar jurusan aqidah dan usuluddin di universiti.

Kita boleh tanyakan kepada para guru yang mengajar kita, apakah mereka pernah membaca kitab Ar Radd Alal Jahmiyah karya Imam Ahmad? Ar Radd Alal Jahmiyah oleh Imam Bukhari? Ushul As Sunnah oleh Imam Al Humaidi? Kitab Nuzul Wal Kitab Sifat oleh Imam Daruqutni? Kitab Isbat As Sifat Al Ulwi oleh Imam Ibnu Qudamah dan banyak kitab para imam Ahlus Sunnah yang mu’tabar. Pasti mereka akan berkata “Saya belum pernah membacanya dan kalau ada, saya takut isinya telah dirubah oleh penerbit dan pentahqiq”.

Bagus! Jawapan yang diberikan oleh guru kita itu telah mengikut teknik yang telah kita pelajari diatas tadi. Bukankah telah saya katakan bahawa teknik ini akan kita hadapinya selalu dalam kehidupan beragama.

Kaedah Ketiga

Teknik yang terakhir adalah mewujudkan keraguan terhadap kredibiliti tokoh tersebut agar masyarakat menolak tokoh tersebut sekaligus menelantarkan kitab atau hujjah yang telah digunakan oleh tokoh tersebut dalam menentang mazhab kita.

Kaedah ini banyak diadaptasi dalam perbicaraan mahkamah agar perkataan saksi akan ditolak apabila didapati tidak adil, atau pendusta, atau berniat jahat, atau bersubahat dan sebagainya.

Seperti Syiah yang mengatakan bahawa para sahabat itu menjadi murtad apabila wafatnya Rasulullah saw, melainkan 4 orang sahaja yang masih Islam. Dan mereka mengambil agama dari empat orang inilah, kononnya.

Mereka juga mengatakan bahawa Ummul Mu’minin – A’isyah – itu merupakan pelacur dan perempuan jalang. Lebih keji lagi apabila Khomaini mengatakan bahawa Abu Bakr dan Umar merupakan berhala dan dia berazam untuk mengorek jasad kedua mereka jika dia berjaya menakluki Madinah satu hari nanti.

Justeru bagi merealisasikan kaedah ini; kita katakan sahaja bahawa Ibn Khuzaimah, Imam Ad Darimi dan Imam Izz Abdis Salam sebagai mujassimah (kaum yang menjisimkan Allah) kerana kita dapati bahawa mereka telah mengarang kitab yang menentang aqidah kita. Malangnya kitab mereka itu tidak mampu untuk dibantah secara ilmiyah oleh kita.

Oleh itu apabila kita menyebarluaskan penyesatan keatas mereka, kita berharap masayarakat akan menolak mereka sekaligus akan meninggalkan hujjah-hujjah mereka serta kitab aqidah mereka. Kita wajib berusaha untuk menolak kitab Ar Radd Alal Jahmiyah oleh Imam Ad Darimi agar aqidah yang kita anut tidak diketahui bertentangan dengan aqidah para sahabat Nabi saw.

Walaupun kita mengetahui bahawa seluruh ulama’ Ahlus Sunnah mengiktiraf mereka sebagai ulama’ mutabar, imam di zamannya, tokoh yang berpegang teguh dengan sunnah, ilmuan yang meniti jalan Rasulullah saw; namun kita juga mengetahui bahawa masyarakat awam tidak mengetahui hakikat ini.

Masyarakat hanya tahu beberapa nama sahaja seperti nama Imam Syafi’e, Imam Nawawi, Ibn Katsir dan Imam Ibn Hajar. Lebih menarik masayarakat hanya sekadar menghafal nama mereka namun tidak pernah membaca kitab-kitab mereka terutamanya kitab aqidah mereka.

Contohnya Imam Ad Darimi merupakan murid kepada Imam Ahmad, Ali Al Madini dan Yahya bin Ma’in; yang merupakan tokoh ulama’ agung. Malah Imam Ad Darimi juga merupakan guru kepada imam-imam yang hebat seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Imam Abu Dawud dan banyak lagi. Masyarakat tidak mengetahuinya. Malah mungkin inilah kali pertama mereka mendengar nama “Ad Darimi”.

Sekiranya kita mengatakan Imam Ad Darimi sebagai sesat, pasti orang yang cerdik akan mengetahui bahawa secara tersiratnya kita turut menyesatkan guru beliau iaitu Imam Ahmad, dan juga seluruh muridnya iaitu Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi, Imam Abu Dawud dan banyak lagi.

Namun kita percaya perbuatan kita ini tidak akan dihidu oleh orang awam melainkan yang memiliki ilmu dan yang ikhlas mencari kebenaran walaupun mendapat tentangan.

Label: , , , , , , , , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: