Asabiyyahkan Mencintai Bangsaku?

Bapa saya; namanya Mat Jahya. Jelas Melayunya. Sementara itu walaupun saya dinamakan sempena sebuah kitab agung karja Al Hafiz Ibnu Hajar – Fathul Bari, kemudian saya telah mengaji di Madinah dan kemudian menyambung ke Jordan; saya berguru dengan puluhan masyaikh, sering mengenakan jubah, membaca kitab-kitab tulisan Arab dan boleh berbahasa Arab; itu tidak menjadikan saya sebagai Bangsa Islam. Malah wujudkan istilah Bangsa Islam?

Fathul Bari Bin Mat Jahya tetap Melayu walaupun saya melakukan pembedahan plastik.

Lantas apakah perasaan saya untuk mencintai bangsa saya, upaya membantu bangsa ini agar maju dan berjaya, menyedarkan kaum saya yang terlupa, mempertahankan hak mereka sebagai  empunya tanah pusaka; segala usaha saya ini dikatakan sebagai asabiyyah?

Sekiranya apa yang saya usahakan ini dikatakan haram dan berdoa, bawakanlah dalilnya. Persoalan yang ingin ditanya adalah: Apakah mencintai bangsa sendiri itu haram? Apakah berusaha untuk memajukan bangsa sendiri itu keji? Apakah mempertahankan harta pusaka bangsa sendiri itu sebuah dosa? Kalam Allah atau hadits mana yang dijadikan sandaran untuk mengharamkan perbuatan ini? Atau orang yang mengharamkannya hanya sekadar membawa ayat Qur’an secara umum tetapi dipusingkan maknanya agar bersesuaian dengan selera mereka?

Sekiranya semua itu haram, kenapakah Allah Taala mewujudkan kita dalam rupa dan warna yang berbeza sehingga Allah menamakan sahabat Nabi sebagai Muhajirin dan Anshar di dalam Al Qur’an? Juga sehingga Rasulullah saw sering menyandarkan nama bangsa kepada para sahabatnya.

Rasulullah saw. bersabda: “Suku Quraisy, Suku Ansar, Muzainah, Juhainah, Aslam, Ghifar dan Asyja’;  mereka adalah para penolongku dan tidak ada seorang penolong pun bagi mereka selain Allah dan Rasul-Nya”. (Shahih Muslim)

Ironiya para sahabat tidaklah memandang panggilan suku itu sebagai asabiyyah seperti yang kita fahami hari ini. Makanya apakah kita lebih alim dari sahabat, dan apakah kita lebih mulia dari Rasulullah saw untuk mengelak mencintai suku sendiri?

 

Rasulullah saw Mencintai Bani Hasyim

Sebaliknya Rasulullah saw sendiri berbangga dan mencintai sukunya dalam sebuah hadits shahih. Baginda berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilih dari Bani Isma’il iaitu suku Kinanah, dan dari Bani Kinanah, iaitu suku Quraisy, dari suku Quraisy, terpilih Bani Hasyim. Dan Allah memilihku dari Bani Hasyim”.

Apakah Rasulullah saw asabiyyah? Lantas Rasulullah saw menyuruh umat Islam untuk mencintai Bani Hasyim dan Ahlul Bait dengan berkata: “Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, mereka tidak beriman sehingga mereka mencintai kalian (Bani Hasyim) kerana Allah, dan  kerana mereka itu (Bani Hasyim) adalah kaum kerabatku”

Apa yang saya tuturkan diatas adalah kecintaan Rasulullah saw kepada sukunya dan perintah beliau untuk mencintai Ahlul Bait yang beriman. Namun hadits yang akan saya nukilkan di bawah, sekali pandang seperti Rasulullah saw adalah seorang “rasis”. Baginda seperti merendahkan martabat Bangsa Habsyah dalam hadits mentaati pemimpin:

“Dengar dan taatilah, walaupun yang menjadi pemimpin kamu adalah hamba  berbangsa Habsyi yang kepalanya seperti kismis.” (Hadis Bukhari)

Kalau mengikut pemahaman umum yang selalu digembar-gemburkan maka kita akan berkata bahawa Rasulullah saw melakukan asabiyyah kerana mengagungkan Bani Hasyim dan menghinakan Bangsa Habsyah! Namun apakah benar pemahaman seperti ini? Pasti pemahaman seperti ini adalah batil kerana kita – Muslim – beriman bahawa manusia yang paling adil adalah Rasulullah saw. Rasulullah saw adil kepada Bani Hasyim dan adil kepada Bangsa Habsyah.

 

Makna Asabiyah Yang Diberi Oleh Rasul

Lanjutan dari itu, apakah makna sebenar asabiyyah jika mencintai bangsa sendiri, menolong memajukan bangsa sendiri, mempertahankan hak bangsa sebagai waris tanah pusaka; dihitung sebagai hal yang dibolehkan?

Jawapannya telah Rasulullah saw rungkai ketika seorang sahabat bertanya soalan yang hampir serupa. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : “Adakah termasuk perbuatan asabiyyah apabila seseorang itu mencintai  bangsanya? Rasulullah saw menjawab: Tidak, tetapi asabiyyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman”. (H. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Fahamlah kita bahawa dikatakan asabiyyah adalah apabila kita bersekongkol dalam melakukan kejahatan yang dilakukan oleh kaum kita. Kita membela mereka ketika kita mengetahui kaum kita melakukan penindasan. Juga kita mendiamkan atau enggan menjadi saksi ketika kaum kita diadili dan di dakwa atas sesuatu kesalahan. Inilah asabiyyah yang sebenarnya.

Kerana bagi siapa yang cerdik dan bijak, pasti mereka mengetahui bahawa bangsa Arab yang menghuni di dunia pada tahun kenabian sangatlah mencintai bangsanya dan sangat kuat ikatakan kesukuan. Malah para ilmuan sosiologi dan antropoligi akan mendapati bahawa mereka saling bantu membantu untuk memajukan bangsa mereka.

Hal ini cukuplah kita nyatakan bahawa Saidina Uthman ra melantik para pembesarnya dari Bani Umayyah sehinggakan kaum Khawarij dan kaum sesat menghinakan beliau malah menggerakkan massa agar membunuh beliau atas fitnah kononnya beliau melakukan nepotisme. Malah Saudina Uthman dikatakan melakukan korupsi apabila memberikan khumus (harta rampasan perang) kepada Abdullah Bin Sa’ad Bin Abu Sarah, Mirwan bin Al Hakkam, dan Al Harits Bin Al Hakam yang merupakan Bani Umayyah dan saudara beliau.

Namun Uthman ra. terlalu jauh dari tuduhan keji tersebut. Murrah bin Ka‘ab ra berkata: Aku mendengar daripada Rasulullah saw ketika beliau menyebut tentang fitnah yang akan terjadi di tengah-tengah umat Islam. Pada ketika menyebut tentang fitnah ini, berlalu seorang lelaki yang tertutup kepalanya dengan kain. Baginda lantas bersabda: “Pada hari tersebut orang ini berada di atas petunjuk” … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup itu. (Murrah menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu, ternyata beliau ialah ‘Utsman bin ‘Affan. Kemudian ketika wajah ‘Utsman aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: “Orang inikah anda maksudkan?” Rasulullah saw menjawab: “Ya.” (H. Tarmizi dan Ahmad)

Cuba kita fikirkan, sekiranya menantu Rasulullah saw yang dijamin syurga juga dituduh asabiyah, nepotisme dan korupsi kerana melantik beberapa pembesar yang berkebolehan dari Bani Umayyah, pasti usaha kerajaan untuk membangunkan Bangsa Melayu dan memperatahankan hak mereka akan dikatakan sebagai “kerja dosa”.

 

Fathul Bari Bin Mat Jahya

Label: , , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: