Posts Tagged ‘Imam Asya’ari’

Mempelajari Kaedah Rahsia Dalam Berhujjah

Disember 13, 2011

Saya akan ajarkan kepada para pembaca beberapa kaedah berhujjah yang terkenal dalam umat Islam.Camkanlah hal ini dengan baik dan ingatlah ia kerana perkara ini akan selalu kita hadapinya. Kaedah ini merupakan teknik rahsia yang hanya diketahui oleh mahaguru tertinggi.

Kaedah Pertama

Salah satu darinya adalah kita mendustakan kitab yang ditulis oleh tokoh yang menyerang pemahaman kita. Kita ciptalah pelbagai alasan agar tuduhan itu nampak rasional dan boleh diterima oleh masyarakat yang tidak mengetahui hakikat sebenar.

Kita ada tiga pilihan untuk tujuan tersebut; pertama kita katakan bahawa kitab itu telah dirubah oleh penerbit ataupun pentahqiq yang memang bermusuhan dengan mazhab kita. Mereka (penerbit atau pentahqiq) telah memadam perkataan sebenar tokoh tersebut dan memasukkan perkataan palsu lalu diatasnamakan pada tokoh berkenaan.

Kedua; kita katakan saja bahawa kitab itu ditulis semasa tokoh tersebut sesat atau pada fasa awal kehidupannya; sementara beliau telah ruju’ (taubat) di penghujung nafas sebelum meninggal dunia. Lantas sebab itulah kandungan kitab tersebut menyalahi aqidah kita.

Ketiga; kita terus nafikan kitab itu ditulis oleh tokoh tersebut sebaliknya kita lemparkan tuduhan bahawa kitab itu ditulis oleh musuh kita lantas dinisbatkan kepada tokoh ternama tadi.

Kita lakukan hal ini agar masyarakat tidak mengesyaki bahawa imam tersebut tidaklah beraqidah seperti aqidah kita walaupun kita menamakan mazhab kita sempena nama beliau. Seperti yang telah kita lakukan kepada kitab Al Ibanah Al Ushul Ad Diyanah karya Imam Asya’ari.

Sekiranya kita membenarkan kitab Al Ibanah itu sebagai antara karya terakhir sang imam, pasti secara automatik kita terpaksa mengakui bahawa aqidah yang kita sandang merupakan aqidah yang melencong. Malah Imam Asya’ari berlepas diri dari aqidah yang kita anut. Serta dengan nyata Imam Asya’ari menetapkan dalam kitabnya bahawa mazhab Salaf sebagai aqidah yang benar.

Oleh itu bagi memastikan survival mazhab kita, kita wajib bermati-matian untuk mendustakan kitab tersebut walaupun para imam Ahlus Sunnah sepakat untuk menerima kitab itu. Seperti Ibnu Asakir, Imam Ad Dzahabi, Ibn Katsir dan banyak lagi para imam yang mengakui kitab tersebut antara karangan terakhir Imam Asya’ari.

Kaedah Kedua

Kaedah seterusnya adalah memalsukan perkataan para imam agar masyarakat melihat imam-imam Ahlus Sunnah bersama-sama dengan kita dalam mazhab yang kita anut. Dengan demikian kita akan mudah mempengaruhi masyakat untuk menerima dakwah kita; terutamanya bila kita berkata “pemahaman yang kita perjuangkan ini merupakan lanjutan dari pemahaman para salafus soleh. Buktinya kita memiliki senarai panjang nama ulama’ yang beraqidah seperti kita”.

Lantas kita katakan Imam Syafi’e menolak khabar ahad sebagai dasar aqidah. Juga katakan bahawa tokoh lain pun sama sependirian dengan Imam Syafi’e seperti Ibn Taimiyah, Ibn Katsir, Ibn Hajar Asqalani, Imam Nawawi dan banyak lagi.

Lantas kita ambil perkataan mereka yang bersifat umum lalu kita asak perkataan tersebut agar kelihatan bersesuai dengan aqidah kita. Justeru kita katakan kepada masyarakat: “Kita tidak wajib untuk mempercayai qadar, azab kubur, turunnya Isa, keluarnya Dajjal, dan banyak lagi hal-hal yang Rasulullah saw ceritakan tentang perkara akhir zaman.

Kita ambil contoh seperti Hizbut Tahrir yang mengatakan Ibn Hajar menolak keimanan yang bersumber dari hadis ahad. Kita katakan bahawa ucapan beliau dinukil dari kitab magnum opusnya iaitu Fathul Bari Syarah Shahih Bukhari. Balam masa yang sama kita sedia maklum bahawa dalam Fathul Bari, Imam Ibn Hajar menetapkan keimanan kepada qadar dan menentang orang yang menolaknya dengan memanggil mereka sebagai Qadariyah. Sang Imam beriman adanya azab kubur dan banyak lagi hal-hal keimanan yang berasaskan kepada hadis ahad.

Dalam masa yang sama kita berharap agar umat tidak membaca kitab-kitab aqidah para imam tersebut. Dan memang kita tahu bahawa orang awam tidak pernah melihat kitab aqidah mereka. Malah kita juga tahu bahawa ramai para guru tidak pernah membaca kitab-kitab aqidah para Imam Ahlus Sunnah ini walaupun mereka belajar jurusan aqidah dan usuluddin di universiti.

Kita boleh tanyakan kepada para guru yang mengajar kita, apakah mereka pernah membaca kitab Ar Radd Alal Jahmiyah karya Imam Ahmad? Ar Radd Alal Jahmiyah oleh Imam Bukhari? Ushul As Sunnah oleh Imam Al Humaidi? Kitab Nuzul Wal Kitab Sifat oleh Imam Daruqutni? Kitab Isbat As Sifat Al Ulwi oleh Imam Ibnu Qudamah dan banyak kitab para imam Ahlus Sunnah yang mu’tabar. Pasti mereka akan berkata “Saya belum pernah membacanya dan kalau ada, saya takut isinya telah dirubah oleh penerbit dan pentahqiq”.

Bagus! Jawapan yang diberikan oleh guru kita itu telah mengikut teknik yang telah kita pelajari diatas tadi. Bukankah telah saya katakan bahawa teknik ini akan kita hadapinya selalu dalam kehidupan beragama.

Kaedah Ketiga

Teknik yang terakhir adalah mewujudkan keraguan terhadap kredibiliti tokoh tersebut agar masyarakat menolak tokoh tersebut sekaligus menelantarkan kitab atau hujjah yang telah digunakan oleh tokoh tersebut dalam menentang mazhab kita.

Kaedah ini banyak diadaptasi dalam perbicaraan mahkamah agar perkataan saksi akan ditolak apabila didapati tidak adil, atau pendusta, atau berniat jahat, atau bersubahat dan sebagainya.

Seperti Syiah yang mengatakan bahawa para sahabat itu menjadi murtad apabila wafatnya Rasulullah saw, melainkan 4 orang sahaja yang masih Islam. Dan mereka mengambil agama dari empat orang inilah, kononnya.

Mereka juga mengatakan bahawa Ummul Mu’minin – A’isyah – itu merupakan pelacur dan perempuan jalang. Lebih keji lagi apabila Khomaini mengatakan bahawa Abu Bakr dan Umar merupakan berhala dan dia berazam untuk mengorek jasad kedua mereka jika dia berjaya menakluki Madinah satu hari nanti.

Justeru bagi merealisasikan kaedah ini; kita katakan sahaja bahawa Ibn Khuzaimah, Imam Ad Darimi dan Imam Izz Abdis Salam sebagai mujassimah (kaum yang menjisimkan Allah) kerana kita dapati bahawa mereka telah mengarang kitab yang menentang aqidah kita. Malangnya kitab mereka itu tidak mampu untuk dibantah secara ilmiyah oleh kita.

Oleh itu apabila kita menyebarluaskan penyesatan keatas mereka, kita berharap masayarakat akan menolak mereka sekaligus akan meninggalkan hujjah-hujjah mereka serta kitab aqidah mereka. Kita wajib berusaha untuk menolak kitab Ar Radd Alal Jahmiyah oleh Imam Ad Darimi agar aqidah yang kita anut tidak diketahui bertentangan dengan aqidah para sahabat Nabi saw.

Walaupun kita mengetahui bahawa seluruh ulama’ Ahlus Sunnah mengiktiraf mereka sebagai ulama’ mutabar, imam di zamannya, tokoh yang berpegang teguh dengan sunnah, ilmuan yang meniti jalan Rasulullah saw; namun kita juga mengetahui bahawa masyarakat awam tidak mengetahui hakikat ini.

Masyarakat hanya tahu beberapa nama sahaja seperti nama Imam Syafi’e, Imam Nawawi, Ibn Katsir dan Imam Ibn Hajar. Lebih menarik masayarakat hanya sekadar menghafal nama mereka namun tidak pernah membaca kitab-kitab mereka terutamanya kitab aqidah mereka.

Contohnya Imam Ad Darimi merupakan murid kepada Imam Ahmad, Ali Al Madini dan Yahya bin Ma’in; yang merupakan tokoh ulama’ agung. Malah Imam Ad Darimi juga merupakan guru kepada imam-imam yang hebat seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Imam Abu Dawud dan banyak lagi. Masyarakat tidak mengetahuinya. Malah mungkin inilah kali pertama mereka mendengar nama “Ad Darimi”.

Sekiranya kita mengatakan Imam Ad Darimi sebagai sesat, pasti orang yang cerdik akan mengetahui bahawa secara tersiratnya kita turut menyesatkan guru beliau iaitu Imam Ahmad, dan juga seluruh muridnya iaitu Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi, Imam Abu Dawud dan banyak lagi.

Namun kita percaya perbuatan kita ini tidak akan dihidu oleh orang awam melainkan yang memiliki ilmu dan yang ikhlas mencari kebenaran walaupun mendapat tentangan.

Pengajaran Dari Mantan Tokoh Ajaran Sesat

Mac 21, 2011

Kisah Taubat Imam Abul Hasan Al Asya’ari

Ada sebuah kisah yang sangat menarik untuk dicermati. Kisah tentang seorang tokoh sesat yang kemudiannya bertaubat lalu menjadi seorang yang terkemuka dalam mazhab Ahlus Sunnah. Ibnu Asakir berkata dalam kitab beliau;

“Abul Hasan Al Asya’ari adalah seorang yang bermazhab Mu’tazilah dan menganut mazhab ini selama 40 tahun. Dalam pandangan mereka beliau adalah imam. Kedudian beliau menghilangkan diri selama 15 hari lantas tiba-tiba muncul di masjid jami’ di kota Basrah dan naik mimbar setelah solat Jumaat seraya berkata: ‘Para hadirin sekelian, aku menghilang dari kalian selama beberapa hari kerana ada dalil-dalil yang bertentangan dan sama kuat, namun aku tidak dapat menetapkan mana yang haq dan mana yang batil dan tidak mampu membezakan mana yang batil dan mana yang haq. Kemudian aku memohon kepada Allah swt maka Dia memberiku petunjuk dan aku tuangkan ke dalam bukuku ini. Dan aku melepaskan semua aqidahku yang dahulu aku pegang sebagaimana aku melepaskan bajuku ini”. [Tabyiin]

Abul Hasan Al Asyaari telah menyesatkan umat manusia selama 40 tahun sehingga mazhab sesat ini bertambah kuat dan menguasai pemikiran kaum mulimin. Beliau bukan sahaja menyebarkan kesesatan malah menganjurkannya. Aqidah yang beliau sebarkan itu berupa aqidah yang batil. Sebuah kesalahan yang sangat berat; melebihi dari membunuh sejuta jiwa, melebihi dari mencemar nama Islam dan sunnah – yang dengan aqidah ini banyaklah umat akan digiring ke neraka. Malah Islam yang satu wajah itu berubah rupa dan bentuk. Islam Mu’tazilah tidak lagi serupa dengan Islam yang dianut oleh sahabat.

Namun hidayah itu milik Allah jua. Abul Hasan Al Asya’ari berkata tentang ‘kehilangan 15 hari’: “Selama beberapa malam aku gelisah dengan aqidah yang sedang aku anut. Lantas aku berdiri melaksanakan solat dua rakaat. Lalu aku mohon kepada Allah swt  agar Dia menunjuki kepada jalan yang lurus, kemudian aku tertidur. Aku melihar Rasulullah saw dalam mimpiku lantas aku mengadukan kepada baginda tentang masalah yang sedang menyeliputiku. Rasululla saw bersabda kepadaku ‘Peganglah sunnahku!’ kemudian aku pun terbangun. Setelah itu aku membandingkan masalah-masalah ilmu kalam yang aku dapati, dengan Al Qur’an dan Hadith. Aku pun berkesimpulan untuk berpegang teguh dengan Al Qur’an dan As Sunnah  serta membuang ilmu-ilmu selainnya”. [Al Ibanah: Buku Putih Imam Asyaari]

Ajaran Mu’tazilah Melahirkan Islam Rasional

Mazhab sesat Mu’tazilah ketika itu sangat berpengaruh sehingga menjadi mazhab rasmi kerajaan. Gandingan sang penulis yang hebat – Al Jubai – dengan sang pemidato yang petah – Abul Hasan – menyebabkan Ahlus sunnah semakin terpinggir. Manusia tidak mahu menaruh perhatian kepada Sunnah tetapi lebih gemar untuk mendepankan rasional. Sunnah sudah tidak memberi kepuasan dalam hati mereka melainkan sunnah itu harus ditafsir mengikut akal fikiran manusia.

Tokoh-tokoh Mu’tazilah bukanlah orang badawi, sebaliknya adalah para alim yang mendalam ilmunya. Mereka membaca ratusan kitab, menulis puluhan buku, mengajar dan berfatwa, berserban dan berjubah. Tetapi semua itu tetap tidak menjadikan mereka berdiri atas kebenaran.

Namun dengan taubatnya Abul Hasan ini menyebabkan kaum Mu’tazilah terkedu dan akhirnya menguncup. Tetapi mazhab sesat ini tidak lah hapus langsung dari dunia melainkan menjelma pada setiap zaman dengan berbagai-bagai nama dan rupa.

Mereka tidak menggunakan nama Mu’tazilah lagi. Mereka tidak mengagungkan nama Washil Bin Atha lagi. Tetapi mereka tetap berpegang teguh kepada falsafah Mu’tazilah iaitu: “Sesuatu dalil itu harus bersesuaian dengan akal. Jika sebuah dalil menyalahi akal waras, bererti dalil tersebut batil, lantaran dalil yang sah harus dicerna oleh akal yang waras”.

Oleh itu lahirlah beberapa aliran yang berasaskan falsafah ini antaranya adalah Ikhwan As Safa’ dan juga Hizbut Tahrir. Malah mazhab ini turut berkembang menjadi Islam Liberal atau Islam Rasional. Semua mereka ini mengangungkan akal dalam beragama. Lebih malang lagi fikiran rasional yang mereka tempuh itu bersumber dari barat.

Penafian Adalah Alasan Manusia Tidak Berhujjah

Kembali kepada Imam  Abul Hasan Al Asyaari; setelah beliau taubat maka beliau mengarang beberapa kitab untuk menjelaskan aqidahnya dan kemudian merobohkan aqidah-aqidah sesat yang lain. Lahirlah dari hujung jarinya kitab Al Ibanah Al Ushul Ad Diyanah yang menjelaskan aqidahnya. Sebuah aqidah yang mengikut aqidah Imam Ahmad. Inilah aqidah Ahlus Sunnah. Kemudian kitab Al Luma, begitu juga kitab Maqalat Al Islamiyyin.

Ironinya apabila ada manusia yang  menafikan kitab tersebut sebagai hasil buah tangaan beliau. Bersungguh-sungguh mereka mengatakan bahawa kitab itu dikarang oleh orang lain. Ada juga dari mereka yang mengatakan bahawa kitab itu dikarang ketika awal kehidupannya iaitu sebelum beliau bertaubat. Dan kelompok yang terakhir pula mengakui bahawa kitab Al Ibanah itu memang hasil tulisan beliau tetapi sudah diubahsuai oleh kelompok Wahabi.

Ada dua pilihan dalam ketiga-tiga fitnah ini iaitu pertamanya adalah melihat kitab Al Luma dan Maqalat Al Islamiyyin; bahawa ketiga-tiga kitab ini menceritakan hal yang sama sehingga menafikan tuduhan tersebut. Keduanya adalah meninggalkan keseluruhan kitab beliau dengan anggapan “berjaga-jaga” dengan kegelinciran beliau, dan melihat terhadap kitab-kitab ulama Ahlus Sunnah sebelum beliau yang tidak pernah menganut ajaran sesat dan tersohor dikalangan ulama Sunnah seperti Imam Ahmad Bin Hanbal, Imam Barbahari, Imam Al Laalikai dan Imam Shabuni. Maka dari kitab-kitab aqidah mereka, kita akan menemui aqidah Ahlus Sunnah yang tulen, seterusnya aqidah tersebut sama seperti yang tertuang dalam Al Ibanah.

Justeru, sikap menafikan sesuatu yang nyata kebenarannya adalah lumrah bagi kelompok yang tidak memiliki hujjah. Selain itu mereka juga akan menabur fitnah agar masyarakat meninggalkan kebenaran dan berpihak kepada mereka. Walhal mulut mereka sentiasa mensenandungkan lagu keagamaan dan kebenaran sedangkan hati mereka merasa benci kepada as sunnah dan para pejuangnya.

Merasionalkan Agama Adalah Kelakuan Mu’tazilah

Puncanya kerana setengah manusia percaya bahawa akal yang Allah berikan merupakan alat terbesar dalam menentukan baik – buruk, halal – haram, pahala – dosa dan benar – salah. Padahal akal adalah sebuah alat yang mempunyai batas kemampuan dan terdedah kepada kerosakan dan kecederaan.

Tetapi pengagung akal tidak memandang masalah tersebut sebagai dalil untuk tunduk kepada hujjah agama – dalil naqli. Oleh itu seluruh sendi-sendi agama yang dibangunkan melalui Al Qur’an dan As Sunnah yang mengikut acuan Pemahaman Sahabat dirubah mereka atas semangat “mordenisasi”.

Semua kelakuan yang menentukan baik – buruk dalam sesuatu masalah agama disandarkan pada akal adalah kesinambungan Mu’tazilah. Apabila dibawakan sebuah hadith – malah berpuluh-puluh hadith yang semakna – maka mereka akan membantahnya dengan rasional.

Kaedah Menasihati Pemimpin Yang Melakukan Kesalahan

Contohnya apabila ulama Ahlus Sunnah membawakan sekian banyak hadith untuk tidak melepaskan ketaatan kepada pemimpin Muslim yang berkuasa selagimana mereka menunaikan solat Jumaat dan Solat Eid berjamaah.

Namun oraang yang mengagungkan rasional – neo mu’tazilah – ini akan menyangkal hadith tersebut dengan membawakan rasional nya. Begitu juga ketika ulama Ahlus Sunnah membawakan hadith untuk menasihati pemimpin secara sembunyi-sembunyi:  maka mereka sekali lagi melawan hadith tersebut dengan akal mereka.

Lalu ketika tampil seorang alim yang mengikuti manhaj Salaf – jalannya para sahabat – dengan menasihati kaum muslimin dari terjerumus dalam berbuat dusta atau ghibbah dan mengingatkan umat untuk menasihati pemimpin atau isteri mereka dengan kaedah yang telah Rasulullah saw gariskan, maka golongan yang mengagungkan akal ini menyangka bahawa pemuda alim ini penjilat penguasa dan membela kebatilan. Akal mereka yang berpandangan begitu sedangkan tiada dalil yang bersama dengan mereka. Bagi mereka dalil naqli sudah tiada maknanya lagi apabila aqal sudah memutuskan sesuatu.

Walhal beliau – murid kepada para masyaikh ahlus sunnah terkemuka dunia seperti Syeikh Muhsin Al Abbad, bekas Direktor Universiti Islam Madinah – menasihatkan kita untuk berjaga-jaga dalam berkata dan bertindak. Dan beliau ingatkan kepada kita juga pesan dari Rasulullah saw tentang kaedah khusus menasihati pemimpin negara.

Lebih lucu lagi apabila ada daripada beberapa “ustaz” yang meminta tokoh tersebut memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas kapasiti beliau sebagai penaung program IFF tersebut. Mungkin para ustaz itu juga harus menyuruh Imam Abul Hasan Al Asyaari memohon maaf kepada seluruh umat Islam kerana telah menyesatkan sekian banyak manusia dan mengembangkan mazhab sesat ketika beliau menganut faham Mu’tazilah.

Sedangkan yang tercatit dalam sejarah hidup beliau adalah ucapan taubat beliau, bukannya permohonan maaf kepada seluruh umat Islam. Beliau bertaubat dari menyebarkan ajaran kesesatan. Sementara tokoh tersebut tidaklah menyebarkan aqidah yang batil. Dan seorang yang dihukum rejam, tidak pernah diminta oleh Rasulullah saw untuk memohon maaf kepada khalayak.

* Artikel ini telah diterbitkan dalam Sinar Harian

Menyoal Logika

Januari 6, 2009

Harus ditandai bahwa peristiwa ini dijalani dalam bahasa Jawa.

Teman Saya: “Bu, budak umur 2 bula kalu mati, dia punya dosa dibawa ke akhirat?”

Ibu Teman Saya: “Tak ada. Budak belum punya dosa”.

Teman Saya: “Kok kalau gitu ngapain ditahlili. Bukankah tahlil itu mengharap pahala dikirim, mendoakan arwah mulus masuk syurga?”

 

Teman saya ini persis mengulangi dialog antara Imam Asya’ari dan ayah tirinya, Al Jubai; tetang anak kecil yang mati sebelum berbuat dosa.