Posts Tagged ‘penguasa zalim’

Signifikan Haji: Sudah Sampai Masanya Kita Bersatu

Mac 21, 2011

Mengukur Kefahaman Beragama

Eid Adha baru sahaja berlabuh dengan meninggalkan sejuta makna pada penganut Islam. Namun ada sebuah makna yang harus ditanya. Sebuah pertanyaan yang mendasar dan menggugat, selalunya akan dijawab dengan tentangan ataupun fitnah. Tidak kurang juga yang menjawabnya melalui pedang dan jejari besi penjara. Hanya Tuhan tempat kita mengadu.

Sebaliknya manusia yang mempunyai hujjah dan berpegang teguh kepada nilai kesarjanaan akan berusaha menjawab soalan dengan dalil dari Al Kitab mahupun As Sunnah. Kalau keduanya tidak ada maka mereka akan membawakan pandangan sahabat atau tabi’in. Inilah dasar Mazhab Salaf – Ahlus Sunnah yang sebenar: memami Al Qur’an dan As Sunnah melalui pemahaman para Sahabat. Lalu sekiranya hal-hal itu berupa perkara yang baharu, mereka akan meleraikannya dengan fatwa ulama Ahlus Sunnah yang mu’tabar di zaman ini.

Oleh yang demikian, sebuah soalan harus ditanyakan kepada diri kita masing-masing bagi mengukur setakat mana kefahaman agama dalam diri kita dan setakat mana tindakbalas kita terhadap soalan yang menggugat diri kita. Apakah kita akan menabur fitnah juga atau kita berusaha untuk mengikuti kebenaran dengan melakukan pengkajian?

Soalan Yang Menggemparkan Para Pendidik

Ada sebuah soalan mengenai satu masalah dalam solat. Soalan tentang sumber bacaan sujud sahwi yang kita amalkan: “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu”. Para imam Mazhab Syafi’e telah ditanya: “Mana sumber bacaan ini? Dari hadith siapa? Dari kitab mana?”. Lantas para imam Mazhab kita telah menjawab bahawa lafaz itu sangat asing dari ilmu Islam malah tidak diketahui asal usulnya. Paling penting itu bukan bacaan dari Rasulullah saw, malah bukan juga dari sahabat. Bukan juga dari tabi’in.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut: “Aku tidak pernah menemui asal usul bacaan ini.” Lalu Imam Nawawi  menjelaskan bacaan sebenar: “Sujud syahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu”. (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72)

Lantas timbul pertanyaan: “Siapakah yang mengajarkan kita bacaan demikian? Apakah mereka ini sengaja membelakangi hadith dan fatwa para ulama Syafie atau sebenarnya mereka tidak mengetahuinya tetapi hanyalaah taqlid buta?”.

Begitu juga ada persoalan lain timbul: “Bagaimana mungkin amalan solat yang setiap hari kita lakukan, kita masih tidak menemukan cara yang benar yang mengikut petunjuk sang pembawa wahyu – Nabi Muhammad saw?”

Bermakna bahawa kita masih jauh dari ilmu Islam dan aktiviti ilmiyah sehinggakan ibadah wajib yang kita lakukan setiap hari pun masih belum mencapai kesempurnaan. Kalau keadaannya begitu, hal-hal yang lebih besar, pastinya kita lebih jauh dari petunjuk hadith dan pemahaman para ulama Ahlus Sunnah. Hal yang besar itu pasti berupa hal-hal yang lebih rumit dan memerlukan penjelasan dari para ulama mu’tabar. Permasalahan sebegini pastinya kita lebih banyak tergelincir dari pesoalan bacaan sujud sahwi.

Persoalan Imamah Merupakan Hal Yang Besar

Antara persoalan besar itu adalah hal kepimpinan negara. Ia dirangkum dalam prinsip aqidah Ahlus Sunnah pada masalah wala’ wal bara’. Dengan hal inilah berpisahnya Syiah dari mazhab Ahlus Sunnah. Dengan hal ini jugalah Khawarij muncul dan memerangi Sunni. Kerana hal ini jugalah Uthman Bin Affan dibunuh dan kerana hal ini jugalah Ibn Muljan yang begitu wara’ percaya dia akan menemui Rabb dalam syurga walhal dia telah membunuh Khalifah Uthman.

Tetapi alangkah indah jika kita semua mahu melapangkan dada dan pasrah mengikuti petunjuk Rasulullah saw. Tidaklah Rasulullah saw itu meninggalkan Islam dalam keadaan lompong dan tanpa penjelasan. Yang tidak jelas adalah kefahaman kita seperti mana kita masih tidak jelas akan bacaan sujud sahwi. Hadithnya ada tetapi kita yang tidak jumpa. Fatwa ulama’ ada tetapi kita yang tidak rela.

Lalu Rasulullah saw telah mewariskan kita sejumlah besar hadith-hadith tentang kepimpinan dan politik. Hanya saja menunggu kita menerimanya dengan benar atau kita mengubah maksudnya mengikut selera nafsu kita. Nabi bersabda:

“Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu”. (H.R  Bukhari 13/5 & Muslim 3/1472)

Lalu kita menta’wil hadith tersebut dengan berbagai-bagai ragam padahal para Imam Ahlus Sunnah tidak pernah memahaminya sebegitu. Kita membuat andaian bahawa pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin yang memerintah dengan kitab Allah dan Sunnah Rasululillah. Walhal saat Imam Ahmad dipenjara oleh Sultan, Kerajaan Abbasiyah saat itu telah menjalankan hukum Mu’tazilah – sebuah hukum yang tidak mengikut Al Qur’an dan As Sunnah! Malah Sultan telah memenjara dan membunuh para ulama Sunnah yang masih mempertahankan aqidah Islam.

Imam Nawawi berkata tentang hadis di atas ini: “Dalam hadis ini terdapat suatu perintah supaya mendengar dan taat, walaupun penguasa zalim dan kejam. Hak untuk ditaati tetap wajib dijunjung, tidak boleh memberontak kepadanya. Bahkan semestinya tetap bertaqarrub dan berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kejahatannya dan menolak keburukannya”. (Syarah Muslim 12/232)

Siapakah Pemimpin Negara Yang Diiktiraf Islam?

Namun Imam Ahmad tetapi menyeru umat untuk mentaati penguasa dan menasihati rakyat untuk bersama-sama Sultan dalam hal-hal yang ma’ruf. Beliau berkata: “Sesiapa yang keluar (dari ketaatan) terhadap seorang pemimpin dari para pemimpin kaum muslimin, sedangkan manusia telah bersatu dan mengakui kepimpinannya dengan cara apapun – sama ada dengan redha atau dengan kemenangan (dalam perperangan) – maka sesungguhnya orang tersebut telah memecah-belah kesatuan kaum musilmin dan menyelisihi pesanan Rasulullah saw dan apabila ia mati dalam keadaan demikian maka matinya seperti mati jahiliyah. (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah)

Justeru, Imam Ahmad dan para ulama Ahlus Sunnah yang lainnya mengetahui bahawa urusan memimpin ini merupakan sebuah beban yang sangat berat dan sukar. Pastinya dalam memerintah itu seorang pemimpin akan berbuat silap dan tergelincir.

Namun kegelinciran pemimpin bukanlah sebuah alasan bagi kita untuk memisahkan diri dari pemimpin negara yang Muslim. Sebaliknya kita harus bersama-sama pemimpin tersebut dan menolong mereka. Malah kita diwajibkan untuk bersatu-padu dan menjaga kesatuan umat ini dibawah kepimpinan mereka. Sedangkan perpecahan adalah tercela dan mendapat murka dari Allah Ta’ala.

Imam Al-Qurtubi menegaskan:  “Sesungguhnya perpecahan hanya akan membawa kepada kehancuran, sedangkan jama’ah akan menghantar kepada keselamatan. Semoga Allah merahmati Ibnu Mubarak yang telah menjelaskan: Sesungguhnya jama’ah adalah Tali Allah, maka berpegang teguhlah dengannya”. (Al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub)

Perpaduan Adalah Bersama-sama Pemerintah

Ini kerana mengikuti dan mentaati pemimpin pada hal-hal yang ma’ruf adalah lambang umat Islam bersatu-padu. Bersama-sama pemimpin Negara dan tetap di atas aqidah Salaf – Ahlus Sunnah adalah makna sawadul a’zham. Malah hukum bersatu dan berpadu dengan pemimpin Negara dan meniti pada mazhab Salaf adalah fardu ain bagi setiap Muslim.

Berkata Imam Ibnul Atsir: “Dan yang dimaksudkan dengan ‘Alaikum bi as-Sawadul A’zham (Kamu di atas as-Sawadul A’zham) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemimpin) dan berjalan di atas jalan yang benar (mazhab salaf)”. (Ibnul Atsir, an-Nihayah Fi Ghoribil Hadis, 2/1029)

Inilah yang dikhabarkan oleh Ibn Khaldun dalam Mukaddimah pada sub tajuk Bagaimana Perpecahan Menimpa Kerajaan-Kerajaan: “Sebarang dinasti harus didirikan diatas dua tapak. Yang pertama adalah kekuatan, syawkah, dan perasaan ashabiyah…” (Mukaddimah, terbitan DBP, 2009, ms 361) Sebaliknya apabila kita tidak bersatu maka negara itu akan hancur akhirnya.

Lantas apabila umat sudah bercakaran dan tidak mahu mengikuti hadith supaya bersatu dengan pemimpin, lalu Allah menimpakan kita kekalahan dan kemunduran. Apabila kita tidak meniti pada mazhab Salaf maka Allah akan timbulkan berbagai macam bid’ah dan aliran pemikiran.

Justeru, ketika kita sedang menyaksikan jutaan jiwa di Arafah yang mengerjakan ibadah Haji dan kurban, maka sudah sampai waktunya untuk kita meninggalkan perbecahan dan kita kembali mengikuti sabda junjungan. Kita kurbankan lah cita-cita kita untuk merebut kuasa kerana kuasa itu adalah pemberian Tuhan. Kita harus bersatu dengan penguasa sepertimana saudara kita di Arafah itu bersatu untuk haji. Kita juga harus bersatu dalam mazhab Ahlus Sunnah yang sebenar – mazhab yang dianut oleh Sahabat Nabi.

Kita selama ini mungkin silap mentafsir makna keadilan dan kepimpinan sepertimana kita sering silap membaca doa sujud sahwi. Maka pada kesempatan ini, kita tinggalkan kesalahan kita dan menuju kepada dalil yang lebih kuat. Bermakna kita tinggalkan perpecahan dan kita bergabung bersama penguasa yang sah. Allah tidak akan tanyakan rakyat tentang negara tetapi Allah akan tanyakan kita tentang tanggungjawab kita kepada penguasa Negara. Tanggungjawab untuk ditaati pada hal ma’ruf, didoa dengan kebaikan, dicintati dan dimuliakan.

Antara Hajjaj, Ibn Umar Dan Kita

Mac 21, 2011

Perkara yang Menjadikan Mereka Zalim

Apa yang menyebabkan kita menganggap pemimpin Negara kita sebagai pemimpin zalim? Dengan  kalimat “zalim” itulah kita melepaskan kepatuhan kepada mereka, kita membenci mereka, mencaci-maki mereka, menghinakan mereka dan mendoakan laknat atas mereka.

Apakah kerana mereka bersikap keji dan menjalankan pemerintahan tirani? Sehingga rakyat ketakutan dan tidak boleh bersuara. Natijahnya adalah berdiam dalam bilik gelap dengan jejari besi. Dihukum mahkamah tanpa bukti. Dijoblos dalam penjara tanpa diadili.

Atau kerana mereka menjadikan korupsi dan nepotisme sebagai amalan hidup. Sehinggakan rakyat yang berhak mendapat kekayaan dihalang. Mereka dan sahabat handai mereka semakin kaya sementelah golongan marhain makin melarat dan merempat.

Mungkin alasan untuk kita menfatwakan mereka zalim adalah kerana tidak melaksanakan Hudud. Kerana bagi kita yang membaca Al Qur’an dan beriman dengan kesempurnaan Islam, telah yakin sehingga dalam pangkal kalbu kita bahawa “Tiada hukum melainkan Hukum Allah”.

Justeru, kegagalan mereka dalam menerapkan Hukum Hudud adalah sebuah hujjah yang qat’i; bahawasanya mereka telah melawan Ilahi dan menyanggahi sunnah nabi. Hampir-hampir menjadi kafir bagi sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Tuhan.

Fatamorgana Melahirkan Fatwa Serampangan

Namun, tanggapan kita terhadap kezaliman dan bahawa mereka telah menjadi kafir serta bolehnya kita melepaskan kepatuhan kepada mereka; berupa sebuah ilusi yang tidak memiliki hujjah dari sisi agama.

Umpama fatamorgana yang terjadi di gurun Sahara. Panahan mentari yang membakar kulit, keringat yang senantiasa bercucuran, serta semakin tipisnya harapan menemui lembah; menyebabkaan mata tertipu dengan menganggap wujud sebuah wadi yang terbentang di hujung pandangan.

Begitu juga ketika keadaan dunia semakin menekan Umat Muhammad, ketika manusia semakin gelisah untuk hidup dalam bi’ah solehah, dan ketika kebobrokan menjadi sebuah acara; para agamawan yang semakin jauh dari manhaj nubuwah tergelincir dalam memahami nas agama.

Mungkin kita terlepas pandang cerita tentang Gabenor Iraq yang zalim pada pemerintahan Dinasti Umayyah – Hajjaj As Tsaqafi. Umar Abdul Aziz berkata tentang Hajjaj: “Andai setiap umat dan bangsa datang dengan segala kejahatan mereka; dan kita Bani ‘Umayyah datang dengan Al Hajjaj seorang, demi Allah takkan ada yang boleh mengalahkan kita”.

Inilah bukti betapa besar kerosakan dan kejahatan yang telah dilakukan oleh Hajjaj atas umat Islam sehingga tidak ada satu kaum dari umat ini yang boleh mengatasi dia.

Kejahatan Hajjaj Yang Tidak Mampu Diatasi

Hajjaj telah membunuh ribuan jiwa, memenjara ratusan ulama’ dan menghinakan para sahabat. Ketika dia memasuki Makkah setelah mengepungnya selama 6 bulan, dia berkata: “Aku seolah-olah melihat kepala mereka (rakyat Makkah) berguguran ke bumi dari leher mereka”.

Hajjaj telah membunuh tokoh umat ini seperti An Nu’man ibn Basyir, ‘Abdullah ibn Shafwan, Imarah Ibn Hazm dan Sa’id ibn Jubair. Ibnu Zubair yang menjadi Khalifah Negara Hijaz juga dibunuh dan disalib. Kemudian Hajjaj mengkuburkan beliau di perkuburan Yahudi. Hajjaj juga menyebarkan fitnah ke tengah umat Islam dengan mengatakan Ibnu Zubair adalah lelaki keji dan hina.

Setelah beliau menemui Asma’ Binti Abu Bakr, ibunya Ibnu Zubair seraya Asma’ membacakan sebuah hadith kepada Hajjaj, Asma’ berkata: “Sesungguhnya Rasulullah saw berkata kepada kami bahawa di Tsaqif ada seorang pendusta dan seorang perosak. Pendusta itu (Mukhtar Bin Ubaid as Tsaqafi) telah kita ketahui sedangkan perusak itu adalah orang yang kau berikan ketaatan (Dinasti Umayyah di Bawah Khalifah Abdul Malik)” (H.R Muslim)

Hajjaj telah membunuh 120000 orang yang kebanyakan adalah ‘ulama dan orang-orang shalih. Ketika dia meninggal, masih ada sekitar 80000 jasad yang ditemukan di penjaranya. Sehingga Umar Abdul Aziz mengeluh dalam doanya kerana banyaknya algojo dalam Dinasti Umayyah: “Al Hajjaj di ‘Iraq, Al Walid ibn ‘Abdul Malik di Syam, Qurrah ibn Syirk di Mesir, ‘Utsman ibn Hayyan di Madinah, Khalid ibn ‘Abdullah Al Qashri di Makkah! Ya Allah, sepenuh bumi ini telah penuh dengan angkara murka.. Maka selamatkanlah umat ini!”

Cerita kekejaman Hajjaj boleh dibaca dalam kitab Al Isti’aab (Ibn ‘Abdil Barr), Al Kamil Fit Tarikh (Ibn Al Atsir), Al Bidayah (Ibn Katsir) dan At Tarikh Ibn Khaldun.

Namun para sahabat masih tetap solat bersama dia. Sampai-sampai Hassan Al Basri menasihatkan rakyat untuk tetap mendengar dan taat kepadanya. Malah sebuah perkataan yang cukup mashyur telah diucapkan olehnya: “Sesungguhnya Hajjaj adalah azab dari Allah Ta’ala, maka janganlah menghindar azab Allah dengan tangan kalian. Tetapi wajib bagi kalian untuk taubat dan kembali kepada Allah dengan merendah”.

Mengapa Sahabat Masih Mentaati Penguasa Zalim?

Lantas apa yang menyebabkan para sahabat dan tabi’in tetap tidak melepaskan bai’at kepada Dinasti Umayyah walaupun mereka dizalimi? Ibn Umar berkata: “Sesungguhnya aku mengikrarkan bahawa aku mendengar dan taat kepada Abdullah  iaitu Abdul Malik Amirul Mukminin di atas Sunnatullah dan Sunnah Rasul-Nya semampuku. Dan sesungguhnya anak-anakku juga telah mengikrarkan seperti itu” (H.R Bukhari)

Jelas Ibn Umar tetap memberi bai’at kepada Khalifah Abdul Malik Bin Marwan walaupun mengetahui bahawa Hajjaj at Tsaqafi  melakukan kezaliman. Begitu juga dengan Ibn Abbas yang tetap tidak memisahkan diri dari Hajjaj.

Abu Hamzah merupakan seorang tabi’in berkata: “Ketika sampainya berita kepadaku tentang pembakaran Ka’abah (oleh tentera Hajjaj) aku menuju ke Makkah. Aku berkali-kali menemui Ibn Abbas sehingga beliau mengenaliku dan menyanyangiku. Kemudian aku mencaci-maki Hajjaj di depan Ibn Abbas maka beliau berkata: ‘Jangan engkau menjadi pengikut syaitan’”.(H.R Bukhari)

Oleh kerana para sahabat masih tetap tidak mahu memberontak, dan terus menerus bersama-sama penguasa, disamping menasihati mereka secara sembunyi-sembunyi; maka apakah yang menyebabkan mereka bersikap sebegitu? Apakah kerana harta dunia? Kerana sayangkan nyawa? Atau sahabat adalah sekumpulan manusia yang tumpul pemikirannya?

Mungkin juga kita beranggapan bahawa Hudud masih tertera sebagai salah satu perundangan Negara yang membuatkan kezaliman Hajjaj tidak diperkirakan oleh sahabat. Walaupun hukum tersebut tidak dilaksanakan tetapi cukuplah kalau ia termaktub dalam undang-undang Negara.

Kalau begitu, tanggapan ini sangatlah lucu kerana pembekuan Hudud memberi makna bahawa keadaan zaman itu adalah sama dengan keadaan hari ini – Hudud tidak dilaksanakan oleh pemerintah.

Hujjah Sahabat Untuk Taat Kepada Penguasa

Sebenarnya sahabat telah diperingtkan oleh Rasulullah saw untuk tetap bersama-sama pemerintah zalim dan tetap bersabar dengan mereka. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, kami tidak bertanya tentang ketaatan kepada penguasa yang bertaqwa tetapi penguasa yang berbuat begini dan begini – dia (Abi Bin Hatim) menyebutkan kejahatan-kejahatan. Maka Rasulullah saw bersabda: Bertaqwalah kepada Allah, dengar dan taatlah kamu kepadanya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Ashim, hasan li ghairihi)

Lantas kita harus berfikir sejenak; biarkan iman dan nas yang berbicara. Bukan nafsu dan kebodohan yang menentukannya. Walaupun Rejim Abdul Malik telah membunuh para sahabat, mereka menyerang Makkah dan membakar Ka’abah, mereka melanggar perintah Rasulullah saw dan kemudian membekukan Hudud kerana takut hukuman itu dikenakan atas diri mereka, namun sahabat yang masih hidup tetap bersama-sama dengan mereka.

Sedangkan kita yang tidak dijamin dengan syurga, tidak pernah melihat Rasulullah saw, tidak mendalam ilmunya: kita betah untuk menentang penguasa Muslim dan mengingkari perintah Baginda saw. Kemudian kita namakan sikap itu sebagai “Siasah Islamiyah”. Kita wajibkan kepada umat untuk bergabung dengan kita. Sebagai ganjaraannya kita berikan “syurga” dan kepada penguasa diberikan “neraka”.

Sekiranya kita melihat kondisi sekarang, ternyata pemerintah kita adalah pemerintah telah berusaha untuk memakmurkan Negara dan meninggikan agama yang telah ditelantarkan oleh penjajah selama 400 tahun silam. Ketidakmampuan mereka melaksanakan Hudud adalah kerana masyarakat kita masih jauh dari pemahaman Islam yang sebenar. Sementara kelemahan mereka untuk mengamalkan cara hidup Islami secara total, harus kita doakan dan bimbing mereka dengan ikhlas.