Posts Tagged ‘sifat 20’

Perbezaan Antara Islam dan Agama Lain

Mac 21, 2011

“Apa yang membezakan Islam dan agama lain?”

Ini sebuah pertanyaan yang tidak wajar dijawab secara terus. Kerana semua agama mengakui kewujudan Allah dan keesaan-Nya dalam penciptaan makhluk. Seharusnya kita menerangkan tentang mengesakan Allah dari sisi penciptaan dan penyembahan terlebih dahulu.

Ada banyak bukti yang boleh dijelaskan tentang kenyataan diatas. Dengan terang Allah telah memberi isyarat bahawa kaum kafir mengakui kewujudan Dia dan mereka semua mengetahui bahawa Dia lah yang mencipta, mematikan, mentadbir dan memberi penghidupan.

Allah menyuruh Nabi kita untuk menanyakan soalan tentang penciptaan alam kepada kaum kuffar. “‘Tanyakanlah (wahai Muhammad): ‘Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?’ Mereka menjawab: ‘Kepunyaan Allah’”. (Surah al Mu’minum 2:84).

Oleh kerana itu, bagi sesiapa yang beriman dengan hati dan mengakui dengan perbuatan, bahawa Al Qur’an adalah perkataan Allah, pasti dia akan menerima semua perkhabaran yang terkandung dalam kitab ini. Termasuklah bukti bahawa seluruh manusia telah mengetahui bahawa yang menjadikan seluruh makhluk adalah Allah sahaja.

“Lantas apakah agama lain juga mengaku Allah sebagai Pencipta”?

Benar! Agama lain seperti Hindu, Buddha, Jaina, Confucius, Nasrani dan Yahudi; semuanya mengakui bahawa Allah yang menciptakan mereka. Namun yang berbeza adalah sebutan dan huraiannya. Ibarat orang Arab memanggil Nabi Daud sedangkan orang Nasrani memanggilnya dengan nama David. Padahal Daud dan David bukanlah dua individu berbeza sebaliknya adalah seorang lelaki yang sama.

Maka ada yang memanggil Allah, ada yang memanggil Brahman, ada yang memanggil Yehwah, ada yang memanggil Tuhan Bapa, ada yang memanggil Maharaja Dewa; namun semua makna itu menunjuk kepada Rabbul Izzati iaitu Allah Azzawajalla.

Dalam Prasthanatrayi — iaitu terdiri dari kitab Upanishad, Bhagavad Gita dan Brahma Sutra disebutkan filsafat Adwaita Wedanta yang bererti “tak ada duanya”. Menjelaskan Brahman adalah Tuhan Yang Esa. Brahmanlah yang menjadikan seluruh makhluk ini. Dia menjadikan makhluk ini daripada Nur-Nya. Dari cahaya Dirinya itulah terbentuk alam dan segala isinya. Dari cahaya itu juga terbentuk para dewa yang memastikan alam ini teratur. Maka jika kita melihat seorang Hindu menyembah Kali atau Siva atau Krishna, maka mereka hanyalah bertawasul dengan para dewa tersebut. Sedang hati dan iman mereka tetap mengakui “Omm Brahman” iaitu “Allah hu Ahad”.

Masalah ini boleh difahami dengan cemerlang oleh golongan Sufi dan Syiah. Kerana kebanyakan ahli sufi menganut akidah Nur Muhammad atau akidah Nur Panjtan dalam kitab-kitab Syiah seperti dalam Kitabu al Khisal. Petikan dibawah ini telah saya mudahkan bahasanya.

Syeikh Nawawi Bantan menulis dalam Madarijus Su’ud berupa syarah kepada kitab Maulid Nabawi karangan Syed Jaafar: “Bila Allah hendak menjadikan semua makhluk dengan merendahkan bumi dan meninggikan langit, maka Dia menggengam satu genggaman dari Cahaya-Nya. Dia pun berkata kepada Cahaya-Nya itu: ‘Jadilah Engkau Muhammad’. Maka cahaya itupun menjadi sebuah tiang cahaya yang berkilau-kilauan sampai kepada tabir kegelapan lalu cahaya itu pun sujud dengan berkata: ‘Segala puji bagi Allah’. Maka Allah berfirman: ‘Untuk itulah Aku ciptakan engkau dan Aku namakan engkau sebagai Muhammad. Daripada kamulah Aku memulakan kejadian makhluk ini dan denganmulah aku menyudahi Rasul-Rasul’. Kemudian Allah membahagikan Cahaya-Nya itu kepada empat bahagian pula. Daripada bahagian pertama dijadikan Lauh (Luh Mahfuz), daripada bahagian kedua dijadikan Qalam…. Kemudian daripada bahagian ketiga Cahaya itu Allah menjadikan Arsy. Bahagian keempat pula dibahagikan kepada empat bahagian….”

Aqidah Nur Muhammad ini telah dinyatakan sesat oleh JAKIM dan para ulama Ahlus Sunnah sepanjang zaman. Disini bukan tempat untuk membahas masalah aqidah Nur Muhammad yang batil ini. Saya membawakannya adalah sebagai perbandingan semata-mata dan sebagai contoh untuk memahami huraian Agama Hindu tentang Keesaan Allah dan kewujudan para dewa, atau boleh diertikan dalam bahasa Arab dengan kata “malaikat”.

“Kalau semua agama mengakui Allah itu Esa, mengapa dikatakan sesat?”

Jawapan kepada pertanyaan ini dapat dirungkai sekiranya kita mengetahui tujuan pengutusan setiap Nabi dan Rasul. Juga kita boleh menjawabnya bila kita mengetahui jenis pengingkaran kaum kuffar terhadap Allah.

Allah menyatakan dalam Al Qur’an bahawa Dia mengurus Nabi dan Rasul adalah untuk mentauhidkan Allah dari sisi Uluhiyyah (penyembahan) dan Asma Wal Sifat (nama dan sifat Tuhan). “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): `Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu’” (An Nahl : 36). Cuba lihat seruan para Rasul itu, iaitu menyuruh untuk menyembah Allah semata-mata. Bukan untuk mengesakan Allah sebagai Pencipta, Pemberi Rezeki, Pengatur Alam dan Raja segala Raja, kerana hal ini sudah diakui oleh setiap jiwa.

Satu ketika Rasulullah saw mendengar talbiah kaum Arab Musyrikin semasa haji. Mereka berkata: “Aku terima panggilan-Mu yang tidak ada sekutu bagi-Mu, kecuali sekutu yang layak untuk-Mu, Engkau menguasainya dan dia tidak berkuasa”. Maka sabda Rasulullah: “Mereka telah mengesakan Allah sekiranya mereka meninggalkan perkataan “kecuali sekutu yang layak untuk-Mu’”. (H.R Muslim)

Justeru, umat manusia diingatkan oleh Allah untuk membersihkan ibadat – sama ada ibadat jasmani atau ibadat hari – daripada mempersekutukan Allah. Allah berfirman: “Oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah dan bawaanmu kepada-Nya. Ingatlah kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih. Dan orang musyrik yang mengambil selain Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (berkata): ‘Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkaan kami kepada Allah sehampir-hampirnya’”. (Surah Az Zumar 39: 2-3)

Lantaran itulah Imam As Son’ani, pengarang Subulus Salam berkata dalam kitab Tathir al I’tiqad: “Segala puji bagi Allah yang tidak menerima tauhid Rububiyyah para hamba-Nya sehinggalah mereka mentauhidkan-Nya dengan tauhid al Ibadah (al Uluhiyyah) dengan sebenar-benarnya. Selain itu mereka tidak mengambil sebarang sesembahan serta tidak bermohon disamping-Nya kepada selain-Nya serta tidak bertawakkal kecuali kepada-Nya”.

Tauhid Rububiyah adalah keyakinan secara pasti bahawa Allah adalah pencipta, pemberi rezeki, pentadbir alam ini tanpa memerlukan sekutu lain. Sedangkan Tauhid Uluhiyah adalah keimanan bahawa segala pengibadatan hanya layak diberi kepada Allah tanpa ada sekutu. Sementara Tauhid Asma wal Sifat pula bermakna bahawa beriman secara pasti dengan nama-nama Allah serta sifat-sifat-Nya yang termaktub dalam Al Qur’an dan As Sunnah tanpa perubahan (tahrif), pembatalan (ta’thil), membuat gambaran (takyif) dan tanpa membuat persamaan (tamthil).

Seorang Majusi yang mengakui bahawa Brahmin adalah Allah Yang Esa tetapi dalam masa yang sama mereka berdoa, bernazar, bertawakkal, berhaji dan seluruh ibadat lain; disembahkan kepada Dewa Krishna dan dewa yang lain. Begitu juga seorang Nasrani yang mencintai Tuhan Bapa iaitu Allah Yang Esa namun dalam masa yang sama mereka menetapkan bahawa Allah itu memiliki anak – Jesus (Isa Bin Maryam). Kemudian mereka berdoa dan memohon perlindungan kepada Tuhan Anak (Nabi Isa) ini.

Sedangkan Islam memurnikan segala ibadat tanpa perlu ada wasilah (perantara). Ibadat harus terus kepada Allah. Islam mengajak manusia supaya bebas daripada seluruh kesyirikan. Islam menyatakan bahawa sekiranya Allah yang mencipta maka sudah pasti Dia juga yang layak untuk diibadahi. Malah melalui perkataan-Nya jugalah manusia harus mensifatkan diri-Nya tanpa membuat praduga. Inilah Islam yang sebenar. Islam yang datang dari Ilahi.

Namun ada kelompok umat Islam yang menyesatkan pembahagian tauhid kepada tiga seperti Hassan as Saqaf dan Abdullah al Harari. Mereka mengatakan bahawa pembahagian ini adalah batil. Seolah-olah kelompok ini mahu menyesatkan para imam Ahlus Sunnah yang menggunakan pembahagian ini seperti Imam Ibn Mandah, Imam Ibn Jarir, Imam Qurtubi, Imam Ibn Katsir, Imam As Son’ani, Imam al Maqrizi, Imam Ibn Hibban dan selainnya. Silalah baca karangan-karangan para imam ini. Syeikh Bakar Abu Zaid berkata: “Betapa jelas perkara ini sehingga menyamai pengetahuan masyarakat Arab terhadap pembahagian tatabahasa Arab kepada isim, fi’il serta huruf” (al Tahzir min Mukhtasirot al Sobuni fi Tafsir).