Wilayah Syurga
Syurga: sebuah wilayah yang tidak pernah ditemukan. Tiada mata yang pernah melihatnya. Tiada akal yang mampu menggambarkannya. Semua jiwa mengakui bahawa wilayah itu terlalu indah sehingga tiada kata yang mampu diungkapkan.
Kepada sesiapa yang meninggal tanpa sempat bertaubat maka janganlah dia berharap dapat menghidu bau syurga. Dia akan digiring ke neraka. Dicelup dalam kawan lahar sehingga segala daki noda hilang pada jasadnya. Jika seseorang itu menganut aqidah yang songsang dari aqidah yang direstui oleh Tuhan maka masuklah dia dalam neraka. Kerana setiap insan mengetahui bahawa syurga itu khusus untuk orang yang beriman sahaja.
Untuk masuk syurga, kuncinya adalah keimanan dan kebaikan. Lalu Iman yang bagaimana? Tuhan yang bernama apa? Lantas ajaran yang berbentuk apa?
Inilah tiga persoalan yang menjadi pembahasan sepanjang hayat manusia. Setiap ras percaya bahawa Tuhan yang mereka sembah adalah Allah Azzawajalla. Setiap kelompok percaya keimanan yang tertancap dalam kalbu mereka adalah iman yang mulia. Setiap agamawan meyakini bahawa ajaran yang mereka warisi berasal dari Tuhan yang Esa.
Namun sebenarnya agama yang suci hanyalah Islam. Sedang dalam Islam pula, ajaran yang benar hanyalah yang mengikuti manhaj Nubuwah, iaitu mazhab Ahlus Sunnah. Kerana sudah menjadi tabiat agama untuk wujudnya ajaran-ajaran sesat dalam jasad agama tersebut. Islam yang satu akhirnya berpecah menjadi berbagai aliran keimanan.
Milik Siapa Syurga itu?
Benarlah sabda nabi: “sesungguhnya umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, 72 golongan tempatnya dalam neraka, dan hanya satu golongan berada dalam syurga iaitu al jamaah” (Shahih oleh Abu Dawud). Lantas beliau menjelaskan pula siapakah golongan al jamaah itu dengan berkata: “iaitu aku dan para sahabatku berjalan diatasnya” (Hasan, oleh Tarmizi).
Mengikut kata nabi, yang benar itu hanya satu aliran dan yang sesat itu semuanya. Yang memiliki hujjah itu hanya satu golongan dan selainnya hanyalah praduga dan agakan-agakan. Lantas aliran yang benar ini terpinggir dan terpencil kerana jumlah mereka yang sangat sedikit.
Berakibatkan manusia melihat golongan yang tidak mengikut sunnah nabi ini sebagai ajaran yang benar sementara ajaran yang meniti pada jalan nabi dianggap sebagai ajaran sesat. Nabi berkata bahawa Islam itu datang dalam keadaan sangat ganjil pada zaman beliau dan akan kembali ganjil dilihat oleh manusia di akhir zaman kelak. Benarlah bicara nabi – inilah zaman yang dimaksudkan oleh beliau.
Disebalik itu, setiap ajaran yang menyeleweng, mereka harus mendatangkan sebuah perkataan penguat. Sebuah kata yang tidak diragukan oleh umat. Apabila kalimat itu diungkap maka manusia sujud dan menurut. Tanpa bantah dan tanpa ragu. Justeru kata yang paling mudah adalah mengaku syurga dan neraka milik mereka, bukan milik Tuhan lagi.
Seolah-olahnya Allah Ta’ala hanya berperanan menciptakan syurga dan neraka, kemudian urusan syurga itu diserahkan ke tangan mereka. Mereka boleh menentukan siapa ahli syurga dan siapa ahli neraka. Hatta kepada yang belum pernah bersyahadah sekalipun tetapi menyokong mereka, tetap diberikan sebuah pojok di pintu syurga. Sangat ironi.
Nabi Sendiri Tidak Mengetahui Ahli Syurga Selain Dikhabarkan Wahyu
Mereka mengurusi syurga mengatasi pengetahuan Nabi Muhammad saw. Sedangkan Nabi sendiri tidak diberikan kuasa oleh Allah untuk menentukan ahli syurga dan ahli neraka. Semuanya ditentukan oleh Allah azzawajalla. Namun nabi dikhabarkan oleh Tuhan tentang beberapa nama dari umatnya yang telah dijamin syurga.
Tuhan telah janjikan kepada seluruh isteri nabi dengan jaminan syurga. Begitu juga dengan 10 orang sahabat yang dipersaksikan oleh Rasulullah. Kemudian Allah juga menyatakan bahawa para sahabat yang berjanji setia dibawah Pohon Ridwan dijamin syurga. Para peserta yang berjihad pada Perang Badar yang berjumlah 313 orang serta beberapa lagi sahabat yang disebutkan dalam hadith yang lain.
Selain daripada mereka yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah saw secara pasti masuk syurga, tiada seorang pun yang dapat menetapkan secara pasti siapakah ahli syurga dan bakal masuk syurga. Justeru barangsiapa yang mampu berbuat sebegitu, kita khuwatir dia menjadi thoghut, dan perbuatannya itu boleh menyebabkan dirinya terkeluar dari Islam.
Ada sebuah hadith yang menceritakan tentang seorang ahli ibadat dan ahli maksiat. Syurga terlalu hampir dengan ahli ibadat tersebut, ibarat sejengkal, namun dia melakukan kesyirikan ketika dia hampir mati sehingga dia menjadi ahli neraka. Sedangkan ahli maksiat itu yang terlalu dekat dengan neraka, dalam penghujung nafasnya telah bertaubat sehingga dia dimasukkan ke dalam syurga.
Hadith tersebut menjadi asas kepada aqidah Ahlus Sunnah dalam larangan menetapkan seseorang sebagai Ahli Syurga atau Ahli Neraka.
Ini kerana penentuan masuknya seseorang itu dalam syurga atau dilempar ke dalam neraka, hanyalah pekerjaan Pencipta. Dia mengetahui takdir setiap ciptaan-Nya. Dan Dia juga mengetahui akhir perjalanan hamba-Nya; sama ada sempat bertaubat atau sempat berbuat maksiat. Malah dia juga mengetahui keihklasan setiap pejuang yang berperang dibawah bendera Agama-Nya.
Oleh kerana itu, dalam sejarah Ahlus Sunnah, tiada seorang ulama’ pun yang berani menetapkan seseorang sebagai Ahli Syurga, walaupun terhadap seorang tokoh ulama yang terbilang, yang mendapat gelar Syeikul Islam. Begitu juga mereka tidak berani untuk menetapkan seseorang sebagai ahli neraka selagimana mereka itu masih Islam.
Aqidah Ahlus Sunnah Dalam Isu Ahli Syurga
Apa yang mereka ucapkan adalah seperti berikut: “perbuatan tersebut boleh memasukan pelakunya ke dalam syurga”, “tindakan tersebut berupa maksiat dan boleh menyebabkan pelakunya masuk neraka”. Begitu juga “bahawa keimanan itu berupa kebatilan dan penganutnya boleh dihumban ke dalam neraka”.
Maknanya Ahlus sunnah tidak menetapkan Syurga dan Neraka atas pelaku sebaliknya atas perbuatan: yang dihukum adalah amal dan bukan jasad individu.
Oleh itu perkataan seperti: “barangsiapa yang mengundi parti Islam ini akan masuk syurga” atau “barangsiapa yang berdemontrasi dan mati dalam melawan Hosni Mubarak, baginya Syahid dan syurga”. Ucapan ini adalah ucapan kufur dan merosakkan aqidah. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang tidak belajar aqidah, atau orang yang beraqidah sesat.
Imam Bukhari mengumpulkan beberapa hadith pada sub tajuk “Tidak Boleh Menamakan Syahid Kepada Seseorang” sebagai bukti larangan menetapkan seseorang sebagai Mati Syahid atau sebagai Ahli Syurga.
Contoh yang sering kita dengar adalah seseorang memanggil “As Syahid Hassan Al Banna”. Begitu juga dikatakana “Mangsa Memali adalah syahid”. Dimanakah hujjah yang menetapkan mereka benar-benar syahid? Apakah ada seseorang yang telah merobek jantungnya dan melihat apa isi hatinya?
Nabi menceritakan dalam sebuah hadith yang panjang bagaimana seorang lelaki yang mati berperang berkata kepada Allah: “Saya berjihad membela agama-Mu sehingga saya mati syahid”. Maka Allah berfirman: “Kau berdusta! Kau berperang hanya untuk disebut sebagai seorang Pemberani”. Maka diputuskan hukuman untuk lelaki itu: dia ditarik di bahagian mukanya hingga dilempar ke dalam neraka. (Shahih Muslim)
Imam As-Shabuni berkata: “Mereka (ahlus sunnah) tidak menghukumi seseorang bahawa dia calon penghuni syurga atau calon penghuni nereka, kerana hal itu merupakan perihal ghaib. (Aqidah Salaf Ashabul Hadith). Sedangkan hal ghaib hanyalah ilmu Allah: “Katakanlah: “Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan”. (An-Naml : 65)
Selalunya, yang menabur rasuah syurga adalah golongan sesat dan menyesatkan. Sehinggakan Dajjal juga nanti akan menjanjikan syurga dan neraka kepada manusia diakhir zaman kelak.