Posts Tagged ‘tuan guru’

Talbis: Kejahatan Berwajah Kebaikan

Mac 21, 2011

Rupa Kejahatan

Percayakah tuan-tuan bahawa kejahatan tidak selalunya datang dalam wajah yang menggerunkan dan menakutkan: menggerutu, huduh, busuk dan menjijikkan. Malah kejahatan juga tidak selalu berwarna hitam.

Kejahatan boleh muncul dalam perbagai bentuk dan warna. Muncul tanpa kira waktu dan masa. Dalam cerita-cerita seram sahaja kejahatan datang pada waktu malam dan dengan wajah yang menggoncang hati.

Seperti itu juga masyarakat kita menganggap bahawa kejahatan itu pasti sesuatu yang berupa kekejian, sehingga dari jauh sudah boleh dikenal. Ibarat pepatah lama: sekilas ikan di air, aku tahu mana jantan mana betina.

Namun Ibn Jauzi telah membuktikan bahawa tanggapan kita kepada kejahatan terlalu dangkal. Dalam buku magnum opusnya iaitu Talbis Iblis, beliau menunjukkan bahawa kejahatan itu seperti sesumpah; datang kepada kita mengikut kondisi diri kita. Saya akan menceritakan sedikit sedutan dari kitab beliau.

Hakikat Syaitan

Allah mengingatkan manusia tentang bahaya syaitan: “Dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan syaitan. Kerana syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji,  dan mengatakan kepada Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui” (Al Baqarah: 168 – 169)

Oleh itu banyak manusia yang tertipu dengan muslihat syaitan. Syaitan datang dalam rupa yang baik, penuh tawadduk dan penuh dengan kesopanan. Kerana syaitan telah menguasai ilmu penipuan sejak Adam as diciptakan. Sudah ribuan tahun syaitan berkerja sehingga mereka tahu kelemahan manusia.

Lalu ada seorang bertanya kepada Hasan Al Basri tentang syaitan: “Apakah syaitan juga tidur?” Maka Hasan al Basri berkata: “Sekiranya syaitan juga tidur, pasti kita boleh beristirehat”. Oleh kerana syaitan itu sudah wujud semasa Nabi Adam lagi sehingga zaman ini, malah syaitan juga tidak pernah tidur; kerja mereka setiap saat adalah merencana dan menghasut manusia agar berbuat jahat, maka syaitan mampu untuk menyesatkan manusia dengan berbagai helah dan pujukan.

Oleh itu Al Hassan Bin Shalih berkata: “Sesungguhnya syaitan itu membuka 99 pintu kebaikan tetapi dia menggunakannya untuk kejahatan”. Justeru syaitan terkadang datang dalam bentuk seorang alim yang warak tetapi akhirnya syaitan akan menyesatkan kita dalam kealiman dan kewarakan orang tadi.

Salah satu cara syaitan datang menerpa kita adalah dengan membawa gambaran “Islam yang Sebenar”. Sekiranya manusia yang tidak mengikut As Sunnah, mereka akan terpedaya dengan wajah “Islam Yang Sebenar” ini.

Anjing Neraka

Perkara ini diingatkan oleh Rasulullah saw kepada sahabat baginda: “Akan muncul segolongan orang ditengah-tengah kalian dimana solat mereka lebih unggul jika dibandingkan dengan solat kalian. Puasa mereka lebih unggul jika dibangdingkan dengan puasa kalian, amal mereka jika dibandingkan dengan amal kalian. Mereka membaca Al Qur’an yang bacaannya tidak melepasi tengkorok. Mereka lepas dari agama sebagaimana anak panah yang lepas dari busurnya” (H. R. Bukhari & Muslim)

Ini dibuktikan oleh penyaksian Ibn Abbas dengan mata beliau sendiri: “Aku menemui sekumpulan orang yang aku tidak pernah lihat ijtihadnya sekeras mereka. Di kening mereka ada bekas sujud. Tangan mereka keras seperti kaki unta. Pakaian mereka basah oleh peluh dan wajah mereka kelihatan letih kerana banyak berjaga malam”.

Namun sayangnya orang yang kuat beribadat ini ternyata sesat dan menyesatkan. Mereka dikatakan oleh Rasulullah sebagai Anjing Neraka. Ibadah mereka banyak. Malah ibadah mereka sesuai mengikut sunnah, sehingga terkadang orang menganggapnya sebagai ahlus sunnah.

Golongan ini disebut sebagai Khawarij. Mereka beribadah melebihi dari ibadah para sahabat. Mereka menjaga agama mereka begitu teliti dan dengan penuh khusyuk. Sehingga mereka menetapkan bahawa pembuat dosa besar menjadi kafir. Oleh itu tiada seorang Khawarij pun yang berbuat dosa besar.

Maka ketika inilah syaitan datang dalam bentuk manusia yang lebih hebat beragama daripada murid Nabi Muhammad saw. Hebat ibadah namun aqidah mereka songsang dan batil. Lalu sekiranya kita hidup pada saat itu, pasti sukar untuk kita menentukan siapakah yang benar dan siapakah yang sesat.

Pertanyaan Yang Membezakan Hak Dan Batil

Namun Ibn Abbas memberikan solusinya. Dengan sebuah pertanyaan, beliau mengasingkan antara hak dan batil. Pertanyaan yang menjadi asas Ahlus Sunnah iaitu: “Aku datang kepada kamu semua dari sisi kaum Muhajirin dan Anshar serta dari sisi menantu Rasulullah saw. Kepada merekalah Al Qur’an diturunkan dan merekalah yang paling mengetahui maknanya dari kamu semua”.

Inilah yang harus dijadikan pedoman dalam beragama, iaitu menjadikan pemahaman sahabat sebagai pentafsir kepada Al Qur’an dan As Sunnah. Sedangkan golongan yang sesat tidak pernah memakai pemahaman sahabat dalam sikap beragama. Oleh kerana itu Ibn Abbas berkata bahawa tiada seorang sahabat pun yang bersama kaum sesat sedangkan jumlah sahabat mencecah puluhan ribu orang.

Dengan itu, neraca kebenaran diukur dengan meletakkan tiga asas iaitu [1] Al Qur’an, [2] As Sunnah dan [3] kedua-dua sumber ini ditafsir dengan pemahaman sahabat. Maka, dengan tiga asas ini kita boleh mengukur setiap pemahaman agama yang sampai kepada kita.

Sekiranya sebuah pemahaman itu tidak memenuhi asas utama ini, bererti pemahaman itu dibawa oleh syaitan yang menyesatkan. Walaupun pemahaman itu diungkap dengan kata-kata yang mulus dan dihiasi dengan penampilan yang kudus. Ingatlah bahawa syaitan selalu hadir dengan rupa kebaikan sebelum menarik kita dalam pelukannya.

Nyalakkan Anjing Neraka

Berbalik kepada Khawarij, salah satu prinsip mereka adalah menetapkan bahawa keadilan. Sebuah keadilan adalah menentang kezaliman. Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Begitu juga bahawa “Tiada Hukum Melainkan Hukum Allah” yang menjadi slogan mereka sejak zaman Saidina Ali ra hingga hari ini. Inilah nyalakkan mereka.

Lalu apabila ada pemimpin Muslim yang tidak menerapkan hukum Hudud, maka mereka mengkafirkannya dan cuba untuk menjatuhkannya dengan berbagai cara. Dahulu mereka menggunakan pedang dan panah. Namun sekarang mereka menggunakan pena dan khutbah.

Untuk menghalalkannya, mereka membuat tafsiran agama sendiri, yang tidak ada seorang sahabatpun membuat tafsiran sebegitu. Mereka berkata bahawa “Khawarij hanya wujud di zaman Ali. Lalu saat ini, menentang pemimpin dibolehkan apabila pemimpin itu zalim”.

Padahal seluruh Ulama’ Ahlus Sunnah menetapkan bahawa kaum Muslimin wajib mentaati penguasa dalam hal-hal yang baik. Imam Asya’ari berkata: “Dan mereka (Ahlus Sunnah) telah sepakat kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin kaum Muslimin. Dan bahawasanya sesiapa yang memegang kepimpinan dengan keredhaan atau dengan kemenangan (dalam peperangan) maka perintah ketaatan tetap kepadanya; apakah dia orang baik atau jahat. Tidak diperbolehkan memberontak kepadanya dengan pedang, sama ada dia zalim atau adil” (Risalah Ila Ahli at Tsagr).

Justeru, semoga kita tidak jatuh dalam pemahaman Khawarij yang mengkafirkan pelaku dosa besar, termasuk mengkafirkan pemimpin Negara yang tidak melaksanakan Hudud, walaupun mereka tidak melaksanakan Hudud atas keterpaksaan. Malah antara pemikiran Khawarij juga adalah menetapkan sebuah Negara itu wajib melaksanakan seluruh hukum Tuhan tanpa tertinggal satupun, terutamanya Hudud. Sekiranya gagal dalam menerapkan hukum Allah maka Negara itu adalah menjadi Negara Kafir.

Hari ini kejahatan datang dalam bentuk jubah, serban, warna hijau dan panggilan Tuan Guru .