“Kebenaran” Pada Falsafah Kenisbian
Ada sebuah pemikiran yang mengatakan bahawa kebenaran itu bersifat relatif – tidak baku dan subjektif. Kebenaran yang wujud hanyalah bersifat nisbi (relatif) yang sentiasa berubah mengikut pemikiran tokoh, keadaan zaman dan keperluan sesuatu masyarakat. Sebaliknya kebenaran yang baku adalah sebuah pemikiran yang jumud dan terbukti gagal dalam sifat humanisme.
Contohnya postulat yang mengatakan bahawa cahaya bergerak lurus terbukti gagal oleh Einstain dalam makmalnya. Begitu juga beliau menumbangkan hukum yang mengatakan bahawa sebuah garis lurus kalau diteruskan akan menuju ke hadapan secara lurus sehingga infiniti. Sebaliknya beliau mendapati bahawa garis lurus itu akan menjadi sebuah gelung gergasi seandainya ditarik terus.
Oleh itu, Einstain dan beberapa tokoh lain percaya kepada pemikiran akan berevolusi dan bermakna juga bahawa kebenaran harus berevolusi, sesuai dengan penemuan-penemuan baharu. Lantas aliran ini dikenal sebagai Falsafah Kenisbian atau Falsafah Relatifme.
Tetapi faham Kenisbian ini tidak terhenti pada perbicaraan sains emperikal semata-mata sebaliknya mula mencampuri urusan pada wilayah keimanan dan ketuhanan. Faham ini menganggap tiada satu nilai mutlak untuk menghukum sesuatu pandangan atau perbuatan. Semua kebenaran adalah relatif dan boleh diterima. Contoh: suatu masa dahulu bumi dikatakan sebagai pusat alam (geosentrik). Kemudian datang kajian-kajian sains yang menyatakan bahawa Bumi mengelilingi matahari (helosentrik).
Maka kebenaran itu bersifat lokal atau sementara. Menjadi benar pada wilayah dan zaman tersebut. Tetapi mungkin akan menjadi salah pada zaman hadapan apabila kajiaan lebih mendalam dilakukan. Terbaru terdapat tiga kajian saintifik dan satu rakaman teleskop yang membuktikan bahawa bumi pegun dan mataharilah yang mengelilingi bumi!
Kaitan Antara Falsafah Kenisbian Dengan Teori Darwin
Akar kepada faham ini adalah Teori Darwin (1859) – Teori Evolusi yang disahkan sebagai sebuah teori sains; walaupun kajian-kajian sains membuktikan bahawa teori ini adalah sebuah dongeng. Teori ini mengatakan bahawa manusia dan haiwan berubah dari sebuah sel ameba yang ringkas atas sebab keperluan semasa dan desakan alam. Kemudian teori ini meresap kepada beberapa sudut pandang antaranya dalam ilmu sosiologi, antrapologi, psikologi, sejarah, pendidikan, ekonomi dan juga teori-teori keadilan dan kebenaran.
Mereka percaya bahawa manusia berubah dari tahap kebuasan sehingga menjadi tahap bersusila – bertamadun. Bahawa agama dan undang-undang berevolusi dari tahap yang ringkas kepada tahap yang kompleks. Bahawa nilai lama adalah mundur dan ketinggalan zaman sedangkan nilai morden merupakan nilai yang baik dan benar. Bahawa sistem zaman dahulu tidak akan mampu menyelesiakan masalah manusia sekarang yang maju. Bahawa peraturan-peraturan yang dikenakan oleh “agama” atau “masyarakat” atas seorang manusia zaman dahulu tidak lagi releven dengan zaman sekarang.
Walhasil, aliran pemikiran ini berjuang atas wajah yang beragam tetapi dengan matlamat yang senada. Antara yang mempunyai pengaruh besar atas manusia adalah isu Hak Asasi Manusia (HAM).
Melihat Manusia Dari Kacamata HAM
Pada perspektif pejuang Hak Asasi Manusia (HAM) bahawa manusia itu bersifat sama dan mempunyai hak yang sama – equal – yang membawa makna bahawa antara Quraish dan Melayu mempunyai hak yang sama dalam segala hal termasuk kerusi Khalifah Al Uzma. Begitu juga antara seorang lelaki dan seorang wanita mempunyai hak yang sama dalam semua sisi termasuk berkerja dan pembahagian harta warisan. Malah antara seorang majusi dengan seorang Muslim itu juga mempunyai hak yang sama dalam segala hal.
Semua manusia berkongsi dan mempunyai hak yang serupa tetapi keadaan dunia menunjukkan sebaliknya; terdapat kezaliman dalam agama, adat resam, peraturan, pendidikan, pekerjaan, sukan dan juga ekonomi.
Justeru yang membuatkan sebahagian manusia dimenangkan atas manusia yang lain adalah kerana “kuasa” yang dimiliki. Lelaki yang menjadi ketua keluarga menetapkan peraturan yang akan menjaga survival kuasanya; sehingga menindas isteri dan anak-anak. Begitu juga ketua Negara yang bimbang kerusinya digugat telah menetapkan peraturan-peraturan yang menindas rakyat. Malah pembawa agama yang semuanya adalah lelaki telah mengatakan bahawa “wahyu” menetapkan dasar-dasar agama yang kelihatan menindas manusia lain dan wanita.
Islam Membezakan Antara Adil Dan Samarata
Pandangan ini pada rasional manusia kelihatan benar dan adil. Namun Islam mempunyai pandangannya sendiri. Allah sang pencipta alam dalam tujuh masa telah menetapkan bahawa setiap golongan mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing; terkadang sama dan terkadang berbeza.
Tanggungjawab dan hak asasi manusia dalam Islam disimpulkan dalam dua frasa: “hablum minallah wa hablum minannas” – hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Maknanya hak asasi manusia yang paling utama bukanlah hak untuk diberi kuasa mengundi pada pilihanraya, bukan juga hak untuk memilih pekerjaan yang berkenan dihati, atau hak untuk bersuara sesuka hati.
Tetapi hak asasi manusia yang paling utama adalah hak mereka kepada Allah iaitu hak untuk diberikan syurga di akhirat kelak dengan syarat bahawa mereka wajib mengesakan Allah semata-mata dalam penyembahan. Tiada sekutu bagi-Nya dalam semua hal yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah. Rasulullah saw bersabda:
“Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah kewajipan bagi setiap hamba untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya, dan hak hamba kepada Allah ialah untuk tidak diazab hamba-Nya yang tidak mensyirikkan-Nya.” (Bukhari).
Mengesakan Allah Dari Sisi Uluhiyyah
Oleh kerana itu, wajib bagi setiap jiwa untuk menganut Islam yang datang dari Allah Ta’ala dan mengesakan Dia dalam sisi Rububiyyah, Uluhiyyah serta Asma’ wa Sifat. Sekadar beriman dari sisi Rububiyyah – mengaku bahawa Allah sebagai pencipta dunia, pentadbir alam, pemberi rezeki kepada sekelian makhluk dan Raja segala kerajaan – masih tidak mencukupi kerana semua manusia mengaku hal yang demikian.
Sebaliknya segala nabi dan rasul diutus adalah untuk mengingatkan manusia bahawa ibadah hanyalah dipersembahkan kepada Allah tanpa ada sekutu bagi-Nya. Inilah yang disimpulkan dengan sisi Uluhiyyah. Para nabi dan rasul memerangi syirik dengan berda’wah siang malam tanpa lelah. Kemudian mereka mengajarkan kepada umat bagaimana cara penyembahan yang diterima oleh Allah tanpa ada tokok-tambah (bid’ah). Selain itu juga mereka menerangkan nama dan sifat Allah berdasarkan wahyu yang turun kepada mereka.
Sesudah itu baharulah hak manusiaa sesamaa manusia dijalankan. Hak ini disimpulkan pula dengan istilah Daruriat: lima perkara asasi iaitu hak untuk menjaga agama, hak untuk menjaga jiwa, hak untuk menjaga akal, hak untuk menjaga harta dan hak untuk menjaga keturunan.
Hak Asasi Manusia Bukan Berdalilkan Rasio
Justeru epistemologi (sumber ilmu) dalam Islam bukanlah dari rasio sebaliknya wahyu yang suci dari langit: Al Qur’an dan As Sunnah. Kemudian kedua sumber ini wajib ditafsir dan difahamkan dengan metode pemikiran sahabat kerana para sahabat telah diajar oleh Rasulullah saw kaedah untuk memahaminya.
Apabila kita telah beriman bahawa Muhammad bin Abdullah itu benar-benar utusan Allah, lantas apa yang menghalang kita dari beriman dengan segala yang beliau nyatakan? Sebaliknya kita merasa aman dan bahagia bila kita menetapkan rasional diatas segala bicara Allah dan Rasul-Nya.
Ketika kita sebok berbicara tentang hak rakyat, kenapa kita sering lupa hak penguasa? Hak untuk ditaati dalam perkara ma’ruf, hak untuk dinasihati secara sembunyi, hak untuk didoakan dan hak untuk dimuliakan. Malah menjadi hak asasi penguasa pula menghapuskan pemecahbelah masyarakat:
“Sesiapa telah mengangkat seorang pemimpin kemudian memberikan huluran tangannya dan buah hatinya (sebagai tanda persetujuan), maka hendaklah dia mentaatinya sedaya mungkin. Maka jika datang orang lain yang menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang terakhir (penentang penguasa)” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)
* Artikel ini telah diterbitkan dalam akhbar
Label: hak asasi manusia, HAM, keadilan
Tinggalkan Jawapan