Ketika Mulutnya Terngaga

Tersingkap Kejahilan

Saudara, ada pepatah yang menjelaskan sebuah hakikat seseorang: “Ketika dia diam, kita menyangka dia orang pandai. Namun ketika dia mula berbicara maka jelaslah kejahilannya”. Kata hikmah ini sangat tepat malah sering terlihat dalam masyarakat kita. Betapa banyak orang yang pada mulanya kita sangka mempunyai minda “genius” ketika dia diam. Sebaliknya apabila mulutnya mula ternganya dan lidahnya terjelir saat berkata-kata, terus sahaja kita menjatuhkan hukuman terhadap dirinya: “Ternyata orang ini tidak memahami apa-apa”.

Kesalahan ini terletak pada lidahnya. Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Orang mengetahui dia itu jahil apabila dia bersuara. Seandainya dia hanya mendengar dan diam sampailah tamat isu yang dibangkitkan, nescaya tiada sesiapa yang tahu akan hakikat dirinya yang jahil. Malah diamnya itu sebagai sebuah tanda bijaksana kerana dia mengetahui hakikat dirinya yang tidak berilmu.

Ironinya betapa banyak orang yang binasa kerana lidahnya di dunia ini? Betapa banyak manusia yang nantinya akan dihumban ke neraka kerana silap berkata-kata. Lantaran itu Islam tidak mengajar kita untuk mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanafaat kepada sesiapa hatta kepada musuh atau orang yang kita tidak suka. Malah kepada seorang kafirpun kita disuruh untuk menjaga lidah dan adab.

Berlaku dialog antara Muaz Bin Jabal dengan Rasulullah saw. Rasulullah saw berkata: “Asas bagi semua perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat dan titik kemuncaknya adalah jihad.” Kemudian baginda bertanya lagi: “Adakah saudara suka jika saya beritahu kunci bagi semua perkara itu? Saya menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah saw.” Baginda memegang lidahnya, lalu berkata: “Saudara jagalah ini.” Saya bertanya: “Wahai Rasulullah saw! Adakah kita dituntut bagi segala perkara yang kita ucapkan? Jawab Rasulullah saw: “Aduh saudara! Bukankah manusia disembamkan mukanya ke dalam neraka hanya sebab lidah mereka?” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Itulah yang diberitakan oleh Nabi yang kita cintai; setiap apa yang manusia lafazkan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Tetapi saudara, apakah boleh bagi seorang Muslim, terutamanya seorang mukmin untuk mencela dan melempar kata-kata nista kepada seorang kafir?

Mencela Musyrikin

Islam adalah agama ilmu, bukannya agama ciptaan akal. Islam berdiri diatas hujjah Al Qur’an dan As Sunnah, yang kedua sumber ini wajib ditafsir dan difahami mengikut metode pemikiran sahabat. Lantaran sahabat diajar oleh Rasulullah saw kaedah berinteraksi dengan kedua sumber ini.

Saudara tahukah ada sebuah hadits dalam kitab Adabul Mufrad karya Imam Bukhari menceritakan tentang larangan melaknat orang kafir. Abu Hurairah berkata bahawa seorang sahabat telah berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah saw, mohonlah kepada Allah agar ditimpakan kebinasaan kepada orang-orang musyrik!” Nabi menjawab: “Aku tidak diutus sebagai pelaknat, sebaliknya aku diutus sebagai rahmat” (Shahih).

Begitu juga Allah menyuruh Musa dan Harun untuk berkata lemah lembut kepada Fir’aun yang menjuarai carta Tokoh Musyrik sepanjang zaman. Dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud:

“berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir’aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut”

Kursi Alaihissalam

Malangnya saudara, kita selalu menyangka lidah kita tidak pernah bedusta, tidak pernah tersasul dan tidak pernah tersilap bicara. Kita tanpa sedar seperti menetapkan bahawa diri kita adalah ma’sum seperti nabi. Tambahan pula kalau orang ramai menobatkan kita dengan sebuah gelaran keramat iaitu “ulama”. Semakin kuatlah iman kita untuk menafikan kebarangkalian kita tersilap kata, tersalah langkah. Padahal Rasulullah saw berkata: “Setiap anak Adam akan melakukan kesilapan, dan yang terbaik adalah yang paling cepat taubatnya”(Hadits Tarmizi).

Ketika kita menggunakan hadits “ulama itu adalah pewaris nabi”, kita tergelincir dengan membuat ta’wilan batil. Kita beranggapan sebagai pewaris nabi kedudukan kita sama seperti nabi di zaman ini. Natijahnya apa yang kita benarkan itu berupah perintah dan apa yang kita tegah berupa larangan. Barangsiapa yang mengelisihi kita diancam neraka dan barangsiapa yang mentaati kita diberi syurga. Sekiranya begitu, moleklah kita tuliskan dihujung nama kita “Alaihissalam”. Atau hadiahkanlah kita sebuah Kursi Alaihissalam.

Saudara tahukah apabila keadaan itu terjadi, umat juga akan menuruti jejak langkah ulama’ mereka. Ketika ulama’ mereka mendengar sebuah berita yang tidak dipastikan kesahihannya, maka terus sahaja sang ulama itu menyampaikan kepada umat. Apabila cuping telinga umat terdengar khabar tersebut, mereka cepat-cepat menyebarkan kepada masyarakat. Akhirnya merebaklah sebuah berita yang tidak sahih ditengah-tengah manusia.

Saat ini, ulama’ dan umat yang menjadi penyebar khabar tersebut sudah tidak memerlukan sebarang bukti terhadap tuduhan yang mereka lemparkan. Hujjah adalah diri mereka; apabila mereka berkata “shahih” maka benar lah khabar tersebut. Ketika mereka berkata “ini dusta” maka palsulah khabar tersebut. Walhal Rasulullah saw berkata:

“Sekiranya setiap manusia diberikan haknya berdasarkan dakwaan atau tuduhan mereka, sudah tentu akan ada orang-orang yang akan menuntut harta dan darah milik suatu kaum yang lain. Oleh itu pembuktian diwajibkan bagi yang mendakwa dan bersumpah bagi pihak yang yang dituduh.” (Hadits Riwayat Baihaqi)

Timun Dan Durian

Saudara lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat Islam kita. Betapa banyak berita-berita yang tidak dapat kita pastikan kebenarannya namun kita tetap bercerita kepada jiran tetangga, kita siarkan dalam laman peribadi kita, dan kita teguh mempertahankannya ketika ada orang meminta bukti dari kita. Malah kita mencela pula orang yang menagih pembuktian dari kita.

Malangnya wahai saudara, kita berhadapan dengan dua keadaan yang mana kedua-dua keadaan itu akan membuatkan kita berdosa. Ibarat timun dan durian; menggilis luka, digilis pun luka. Jika benar khabar itu shahih maka kita tetap berdosa kerana Syubail bin ‘Auf berkata: “Dikatakan barangsiapa yang mendengar sebuah kekejian lalu menyebarkannya, maka orang itu seperti orang yang melakukan perbuatan keji tersebut” (Shahih. Adabul Mufrad).

Sebaliknya jika ternyata khabar tersebut tidak shahih maka kita juga akan berdosa kerana Rasulullah saw bersabda “Cukup seseorang itu dikatakan sebagai pendusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang didengarnya”

Ingin saya berikan dua contoh yang hangat disebarkan oleh umat walhal mereka tidak mempunyai bukti walau sekelumitpun. Pertamanya ada seorang tokoh agama yang berkata kepada anak muridnya bahawa ILMU menerima wang sebanyak RM 15,000.00 sebulan setiap orang: “Ulama Muda; ulama’ gila. Masuk parti sekular, masuk berenang dalam air najis. Terima RM 15,000.00  khabarnya seorang sebulan, tapi duduk dalam najis sekular. Sekular ini keluar dari Islam, sesat dunia akhirat”.

Pertamanya ustaz ini menuduh ILMU menerima wang hampir RM 0.6 juta sebulan dan keduanya ustaz ini telah mengkafirkan ILMU. Sedangkan masalah takfir (mengkafirkan orang) merupakan satu perkara yang sangat besar dalam Islam. Ulama’ Ahlus Sunnah sangat berhati-hati dalam menjatuhkan hukum kafir, sehingga kelompok sesat seperti Khawarij dan Mu’tazilah hanya dihukum sesat walaupun mereka menyeleweng jauh dari Islam.

Keduanya adalah kes Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan fatwa bolehnya wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; Datuk Seri Jamil Khir ketika disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lucunya wahai sahabat, segelintir dari masyarakat kita mengatakan Datuk Seri Jamil Khir telah memakan wang zakat, padahal perbuatan beliau dilakukan setelah fatwa dikeluarkan oleh Mufti. Apakah kita ini lebih alim dari mufti atau sebenarnya kita mahu melawan mufti? Jika kita diminta bukti terhadap tuduhan itu, ternyata kita tidak mempunyai hujjah walau setitik pun.

Paduka Mufti mengeluarkan hukum atas ijtihad beliau yang disandarkan kepada Syeikh Rasyid Redha dalam Tafsir Al Manar: “Pendapat yang benar dalam jihad fi sabilillah ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan”.

Sementara Imam As Son’ani dalam Subulus Salam berkata tentang jihad fi sabilillah adalah: “Termasuk mereka yang berkerja untuk kepentingan orang muslimin, seperti bidang peradilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya”.

Sahabatku, saya ingin melontarkan sebuah pandangan, sekadar pertanyaan: “Jika Datuk Seri Anwar menang dalam kes ini, kemanakah wang zakat yang digunakan MAIWP itu pergi?’

Abu Amru Mohd Radzi Bin Othman
Timbalan SU ILMU

Label: , , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: